Pat McGrath menjadi jurusolek pertama yang menerima anugerah daripada Queen Elizabeth sempena ketibaan tahun baharu.
Dengan gelaran baru Dame Pat McGrath, jurusolek legenda yang lahir pada tahun 1970 ini merupakan figura yang cukup berpengaruh dalam dunia fesyen dan kecantikan. McGrath sebelum ini sering dilihat bekerjasama dengan jurugambar terkenal Steven Meisel dalam menghasilkan gambar yang cukup ikonik. McGrath juga sering menjadi jurusolek pilihan oleh pereka fesyen ternama seperti John Galliano, Alexander McQueen, Marc Jacobs dan Miuccia Prada untuk mengetuai barisan jurusolek di belakang pentas, idea dan karya McGrath sering saja menarik perhatian penggemar fesyen juga kecantikan.
Dalam satu muat naik di instagramnya, McGrath berkata dia sangat berterima kasih atas pengurniaan ini. Ibu saya cukup obses dengan fesyen dan kecantikan dan dia banyak mempengaruhi minat saya kepada dua dunia ini. Saya cukup bersyukur pabila dibuka ruang untuk bekerja dengan insan-insan hebat sepanjang perjalanan karier saya.”
“Warna merentasi dalam kehidupan juga inspirasi dan saya meraikan setiap individu menerusi jenama kosmetik saya Pat McGrath Labs, jadi saya sangat terharu dan bangga dengan anugerah ini kerana ia juga satu bukti kepelbagaian atau diversity. Saya percaya kreativiti akan membuka banyak ruang dan kemungkinan misalnya anugerah yang saya miliki hari ini,” kongsi McGrath di Instagramnya lagi.
Antara hasil karyanya yang ikonik adalah sewaktu era John Galliano di Dior, kolaborasi mereka berdua memang menghasilkan idea-idea yang cukup geliga, sering saja menggemparkan industri fesyen. Pada tahun 2015 Pat McGrath melancarkan label kosmetiknya sendiri. McGrath sebelum ini pernah disenaraikan sebagai 100 orang paling berpengaruh pada tahun 2018 oleh majalah Time.
Artikel berkaitan: ‘Muse’ Fesyen, Stella Tennant Meninggal Dunia
Artikel berkaitan: 7 Nasihat Solekan Pat McGrath, Jemari Emas Kegemaran Supermodel & Selebriti