Gambar: serenityskinspa.com.au
Teks: Azliany Mohamad
Bila sebut pasal vitamin, pasti anda membayangkan vitamin yang terdapat dalam sayuran dan buahbuahan. Khasiatnya ternyata dapat memberikan hasil yang cantik pada kulit wajah jika diamalkan selalu pengambilannya.
Menjalani gaya hidup yang sihat seperti melakukan senaman juga bonus dalam mendapatkan kulit yang berseri dan bebas cela. Dalam perkembangan teknologi yang semakin maju, kini vitamin juga boleh didapati dalam produk penjagaan wajah. Dengan sapuan produk penjagaan kulit yang sarat vitamin ia akan memberikan hasil yang berganda untuk mendapatkan kulit wajah yang sihat dan menawan.
VITAMIN A
Jika inginkan wajah awet muda, vitamin A adalah jawapannya. Ia berkesan melawan kedutan serta garis halus dan melicinkan noda kasar di muka. Ia juga berfungsi memperbaiki tisu kulit yang rosak dan mengawal masalah jerawat. Vitamin ini boleh didapati dalam krim malam dan losen. Ubi kayu, lobak dan ikan tuna merupakan pilihan makanan yang kaya vitamin A.
VITAMIN B
Keistimewaan vitamin B3 ialah mengurangkan kemerahan kulit, pigmentasi dan bintik hitam. Vitamin B3 yang kebiasaanya boleh didapati dalam produk seperti krim atau losen wajah dan serum meningkatkan pengeluaran sel ceramide dan asid lemak yang dapat melindungi kulit secara luaran. Ada kajian yang menyatakan pengambilan vitamin ini secara berterusan mampu mengurangkan risiko kanser kulit. Ia juga dapat membantu membaiki tona kulit yang tidak sekata dan kulit kering.
VITAMIN C
Kandungan vitamin C kebiasaanya boleh didapati di dalam produk pelembap. Ia berkesan untuk melawan noda di wajah seperti jeragat, kedutan serta bertindak sebagai ejen anti penuaan. Ia juga mengurangkan kerosakan sel akibat cahaya matahari yang panas dan juga membantu dalam penyembuhan luka pada kulit dan badan.
VITAMIN E
Berkesan dalam membekalkan kelembapan pada kulit dan juga bertindak dalam melawan sinaran UV. Ianya boleh didapati dalam produk pelindung sinar. vitamin E yang disapu pada kulit dapat membantu mengurangkan kekeringan, kemerahan serta menghalang proses penuaan kulit pra-matang. Selain itu, parut jerawat dan tekstur kulit kasar juga boleh diatasi dengan pengambilan vitamin E. Bukan kulit sahaja, vitamin ini juga bagus untuk rambut yang berkilau dan kuat.
VITAMIN K
Masalah lingkaran hitam di bawah mata boleh dirawat dengan pengambilan vitamin ini melalui sapuan krim mata yang kebiasaannya terkandung vitamin K. Ia turut berkesan dalam memudarkan parut, kedutan dan mengambalikan kelembapan kulit. Sapuan krim yang mengandungi vitamin K juga boleh merawat kulit kusam. Amalkan pengambilan sayur- sayuran hijau dalam makanan harian anda.