Teks : Azliany Mohamad
"Saya cuba elak menyentuh wajah dengan tangan supaya tidak tumbuh jerawat pada wajah! "- Kaka Azraff
Bila sebut soal kahwin pasti ada sahaja pantang larang yang perlu diikut untuk memastikan wajah kelihatan cantik berseri semasa berlangsungnya majlis persandingan.
Berkesempatan untuk menemu bual penyanyi Kaka Azraff yang baru mendirikan mahligai bahagia bersama pasangannya Adam, Kaka sempat kongsikan tip kecantikan untuk kelihatan menawan pada hari bahagianya.
Menurut penyanyi lagu ‘Bukan Hal Aku’ ini, dua minggu sebelum berlangsungnya majlis, Kaka melakukan rawatan wajah professonal dan dia tidak akan menyentuh kulit wajahnya bagi mengelakkan wajah terkena bakteria yang ada pada tangan yang akan mengakibatkan timbulnya jerawat.
“Saya hanya menyentuh wajah ketika mencuci wajah sahaja." Selain itu, Kaka juga akan melakukan proses pengelupasan tiga hari sebelum majlis bagi memastikan sel-sel kulit mati dibuang dan wajah kelihatan lembut dan bersih. Paling penting menurut Kaka adalah banyakkan minum air. Bila kurang air kulit wajah akan kelihatan kering dan hilang seri.