Kajian membuktikan bahawa, sekiranya anda berkawan dengan orang yang kurus, ia lebih mudah untuk anda mengurangkan berat badan dan peratusan untuk anda menjadi gemuk adalah sangat rendah. Risiko obesiti meningkat sehingga ke 57% sekiranya anda dikelilingi oleh rakan-rakan yang mempunyai masalah berat badan. Apakah faktor-faktornya?
Gambar: feminiya.com
Motivasi
Cuba anda bayangkan, dalam ramai-ramai rakan anda, hanya anda seorang sahaja bersaiz besar. Semestinya anda akan berasa sedikit tertekan kerana ‘menyerlah’ di antara mereka bukan kerana penampilan yang menawan tetapi akibat saiz badan yang besar. Sedikit sebanyak ini menjadi motivasi untuk anda menurunkan berat badan. Bincang dengan rakan anda mengenai hal ini dan minta mereka memberi dorongan kepada anda untuk kurus.
Sokongan Moral
Kawan yang baik akan menyokong dan memberi anda sokongan moral. Ini penting kerana ia boleh menjadi jurulatih peribadi anda secara tidak langsung. Kajian menunjukkan mereka yang pergi ke gimnasium bersama rakan-rakan akan bertahan lebih lama ketika bersenam dan sekiranya anda teringin untuk makan lebih daripada sepatutnya, ada orang yang akan menegur anda.
Corak Pemakanan
Munurut kajian University of Birmingham pula, tanpa sedar anda akan terpengaruh dengan cara pemakanan orang yang rapat dengan anda. Lihat cara pemakanan rakan anda yang kurus dan amalkan diet pemakanan mereka. Mungkin mereka melebihkan lauk daripada nasi atau makan sedikit tetapi kerap dalam sehari. Ikut atau tiru corak pemakanan mereka.
Bersenam
Sememangnya ada di antara mereka yang kurus kerana tahap metabolisme yang tinggi mungkin kerana banyak minum air dalam sehari. Ada di antara mereka yang suka makan tetapi bersenam di gimnasium dan yoga merupakan aktiviti harian mereka. Rajin-rajinkan diri untuk bersenam bersama mereka. Aktiviti ini boleh merapatkan lagi perhubungan anda dan secara tidak langsung ia membantu anda mengurangkan berat badan.