Memanjakan kulit wajah dan tubuh di spa atau pusat kecantikan bukan sahaja bertujuan untuk menambah baik kondisi kulit wajah dan tubuh, tetapi juga untuk alami pengalaman hasil rawatan yang lebih segar, positif dan semestinya tampil lebih ‘bernyawa’.
Menurut pakar, kita dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan kulit sekurang-kurangnya sebulan sekali bergantung pada kondisi kulit supaya kulit tampil lebih terhidrat, bersih dan jauh dari masalah kesihatan. Baru-baru ini penulis berkesempatan untuk rasai sendiri rawatan kulit wajah eksklusif di salah sebuah pusat kecantikan Estetika Medispa di Wangsa Maju.
Apa yang istimewa tentang rawatan yang diterima hari itu adalah ia merupakan rawatan yang menjadi kegemaran ramai pelanggan dan mewah kerana ia menggunakan emas. Ini merupakan kali pertama saya mencuba sendiri rawatan kulit yang asasnya menggunakan emas dan pengalaman sepanjang rawatan ini cukup mengujakan.
PRIMADONA GOLD
Pada awal rawatan juru kecantikan membersihkan muka menggunakan teknik double cleansing diikuti proses pengelupasan (scrub) dan seterusnya urutan yang menenangkan. Selepas selesai cucian wajah juru kecantikan kemudiannya memberi rawatan pengewapan wajah sebelum proses menyedut bintik hitam dan kekotoran yang tersumbat di dalam pori wajah.
Rawatan diikuti dengan cucian kali kedua dan diikuti dengan urutan wajah dengan menggunakan serum emas, setelah selesai wajah kemudiannya disapu pupur gel emas (Masker Gold) yang baik dalam merangsang kulit wajah dan juga mengawal pingmentasi. Selepas menerima rawatan emas ini, kulit tampil sedikit kemerahan akibat dari pembuangan bintik hitam, tetapi selepas dua hari kulit tampak lebih lembut, anjal dan sedikit cerah dari biasa, sesuai buat anda yang ingin mengurangkan kekusaman juga mengembalikan keremajaan kulit. Rawatan emas ini mengambil masa selama 60 minit dan anda boleh mencubanya pada harga RM250.