Selepas sekian lama menjadi bualan peminat, Selena Gomez sah bergelar isteri kepada Benny Blanco dalam satu majlis penuh romantis. Momen bahagia itu bukan sahaja menyentuh hati, malah penampilan Selena pada hari bersejarahnya turut mencuri tumpuan dengan gaya yang anggun.
Penyanyi dan pelakon, Selena Gomez yang berumur 33 tahun itu melangkah ke pelaminan dengan anggun mengenakan gaun perkahwinan khas bertema floral halter-neck dengan rekaan korset struktur ketika disatukan dengan penerbit muzik, Benny Blanco, 37, di California pada Sabtu, 27 September. Benny Blanco turut tampil bergaya dengan busana istimewa pada hari bersejarahnya itu.

Bagi gaya rambut, Selena mendapatkan sentuhan jurugaya rambut selebriti, Renato Campora, yang menggunakan rangkaian produk penjagaan rambut untuk mencipta gaya pengantin menawan buat bintang itu.
“Dalam menyiapkan rambut Selena Gomez untuk sebuah sambutan penuh kegembiraan, kesatuan, dan cinta, setiap perincian perlu sempurna,” kata Renato, yang memulakan dengan mencuci rambut dua kali, diikuti rawatan selama 30 minit.

Renato kemudian mengeringkan rambut dengan tuala dan membahagikannya kepada beberapa bahagian, sebelum menggunakan sikat “ekor tikus” untuk mencipta belahan sisi yang mendalam. Selepas itu, setiap bahagian rambut dilapisi mousse rekaan khas dan dikeringkan menggunakan berus bulat besar, kemudian dipinkan untuk menyejuk serta menetapkan bentuk.
Bagi gaya akhir, Renato membentuk corak gelombang marcel menggunakan pengeriting bersaiz tiga perempat inci, dengan memberi “perhatian khas” pada helaian rambut yang membingkai wajah Selena. Hasil gaya itu disempurnakan dengan semburan penetap berkilau untuk memastikan rambut kekal rapi sepanjang majlis.
“Hasil akhir: gaya bob gelombang marcel klasik ala Hollywood yang sempurna, abadi, tampak sihat dan glamor — sesuai untuk hari meraikan cinta, kecantikan dan kesempurnaan,” ujar Renato.

Majlis perkahwinan tersebut turut bertaburan bintang, dengan kehadiran selebriti ternama seperti Taylor Swift, Paris Hilton, Martin Short, Steve Martin dan ramai lagi yang hadir meraikan pasangan bahagia ini saat mereka mengucapkan ikrar cinta.
Selena dan Benny, yang melancarkan album kolaborasi I Said I Love You First… And You Said It Back pada Mac lalu, mengesahkan hubungan cinta mereka secara terbuka pada Disember 2023, sebelum bertunang pada Disember 2024.
Benny kemudian mendedahkan bahawa dia melamar dengan sebentuk cincin yang turut direka sendiri oleh Selena — dihiasi berlian marquise berkilau sebagai penghormatan kepada lagunya “Good For You.”

“Forever begins now..” tulis Selena di posting Instagram pada 11 Disember 2024, mengumumkan detik penting dalam hubungan mereka itu. Menjelang hari perkahwinan, penerbit muzik tersebut sempat meraikan parti bujangnya bersama rakan-rakan di Resorts World, Las Vegas. Dia turut memuat naik beberapa gambar di Instagram Stories yang memaparkan latar langit Vegas, dirinya bersantai di spa, serta menikmati hidangan kaviar.

Sementara itu, Selena berparti sakan di Cabo San Lucas, Mexico. Selena tampil dengan gaya pengantin serba putih, termasuk veil bertulis “bride to be” serta gaun mini bare back.
Sepanjang percutian itu, Selena dan rakan-rakannya bersantai di pantai serta tampil comel dalam set pakaian sukan yang sepadan. Selena juga sempat bergambar di hadapan belon bertulis “Mrs. Levin,” merujuk kepada nama sebenar tunangnya, Benjamin Levin.
Menjelang hari bahagia mereka, pasangan ini merahsiakan hampir semua butiran mengenai majlis perkahwinan dan resepsi. Dalam satu episod podcast Table Manners with Jessie and Lennie Ware pada April lalu, mereka berkongsi bahawa mereka masih belum “menentukan apa-apa” tentang majlis perkahwinan, kecuali sedikit perancangan mengenai hidangan.
Pasangan itu juga mendedahkan bahawa mereka mempertimbangkan untuk tidak mengadakan tarian pertama. “Saya rasa kami tak akan buat sebab benda tu agak… memalukan,” kata Selena, sebelum Benny menambah, “Dia pemalu.”
Baca:
5 Fakta Menarik Tentang Teman Lelaki Baharu Selena Gomez, Benny Blanco
Kini Milik Benny Blanco, Ini Senarai Bekas Kekasih Selena Gomez