Sarkas menjadi inspirasi Dior Beauty dalam menyambut kemeriahan musim percutian. Dari pop-up eksklusif ke koleksi edisi terhad, semuanya hadir dalam nadi mewah keemasan.
Salah satu yang membuatkan saya selalu ternanti-nantikan ‘Holiday Season’ bila hujung tahun tiba, bukannya kerana mahu bercuti tapi lebih kepada mahu melihat dekorasi di pusat beli-belah serta set produk yang cantik-cantik. Dan selalunya juga kebanyakan jenama akan melancarkan produk edisi terhad bagi meraikan hujung tahun.

KOLEKSI GEMERLAPAN DIOR HOLIDAY
‘Circus of Dreams’ menjadi inspirasi buat Dior Beauty di musim percutian tahun ini. Gemerlap cahaya diiringi suasana yang penuh keseronokan cukup tepat menggambarkan atmosfera musim percutian. Dari sini jugalah datangnya idea Peter Philips, pengarah kreatif dan imej Dior Makeup.
Peter Philips menghadiahkan penggemar Dior dengan satu koleksi yang ‘dibintangi’ produk ikonik Dior sendiri dan dihadirkan dengan warna dan bungkusan yang berpadu mesra dengan konsep yang sama.
ITEM DIOR HOLIDAY PILIHAN EH!
Ini lima produk dari koleksi Dior Holiday yang menjadi pilihan EH! Selain warna dan formula, tarikannya pasti pada bungkusannya juga.

Rouge Dior Sequin Liquid Duo
Seglamor namanya, Rouge Dior Sequin Liquid Duo adalah bintang utama koleksi ini. Satu item dengan dua warna gincu dengan kemasan berbeza. Pastinya gincu ini yang wajib ada dalam tas tangan anda musim ini.
Menggunakan formula Rouge Dior Sequin, gincu duo ini memberi calitan pusam dan anda boleh menyerlahkannya dengan sapuan glos. Antara warna yang memeriahkan item ini ialah warna ikonik 100 Spectacular Nude, 720 Spectacular Icone dan warna ikonik Rouge Dior 999.
Rouge Dior
Bagi anda penggemar setia Rouge Dior, bekas gincu dalam warna emas ini wajib ada dalam koleksi. Warna merah klasik 999 antara yang membarisi warna koleksi ini selain warna kegemaran ramai, velvet rosewood 629 Parade (warna merah jambu lembut yang sesuai digayakan saban hari).

Dior Backstage Rosy Glow Blush
Pemerah pip kegemaran ramai jurusolek profesional dan juga beauty influencer. Warnanya bereaksi mengikut paras pH kulit anda lantas menghasilkan warna yang berbeza. Biarpun anda dan teman melayangkan warna yang sama, tapi hasil ton di pipi mungkin berbeza.
Ada tiga warna untuk dipilih dari koleksi ini iaitu 810 Starry Pink (merah jambu bak bunga mawar), 830 Fiery Red (warna merah yang menggoda) dan juga 850 Starry Mauve (ton merah jambu yang seakan ungu).

Dior Forever Cushion
Ikon era baru, bedak kusyen Dior dari All the Dior Forever Hydra Glow Cushion, Dior Forever Skin Glow Cushion dan Dior Forever Cushion dibekaskan dalam nuansa mewah, motif cannage yang sudah jadi identiti Dior diserlahkan pada bungkusan edisi terhad ini.

Diorshow 5 Couleurs
Palet pembayang mata dengan lima warna ini datang dalam dua ton sempena musim percutian. Mana satu pilihan anda, mahu yang dalam ton ungu 912 Plum Parade atau mahu dalam ton kemerahan, 636 Fiery Circus?


