Bakat yang dimiliki oleh wanita kelahiran Australia ini bukan sekadar biasa-biasa. Sudah beberapa kali namanya membolosi calon pelakon terbaik di merata anugerah utama dunia. Once Upon a Time in Hollywood dan Bombshell antara filem terkini wanita berusia 29 tahun yang sekali lagi menonjolkan kehebtannya. Ikuti tembual eksklusif bersama wajah kempen Gabrielle Chanel Essence ini.
Sedalam mana hubungan kamu dengan haruman?
Seperti gadis-gadis lain saya membesar dengan melihat botol-botol haruman di meja solek emak, dan haruman itu bagi saya adalah simbol kepada wanita. Ketika itu saya tahu bahawa satu hari nanti saya akan menyemburnya. Saat kali pertama saya menyembur haruman saya dapat kenali siapa diri saya sebenar. Beberapa tahun selepas itu saya mula sedar haruman itu adalah ekspresi diri. Dan ia punya hubung kait dengan kenangan lampau kita. Seronok pabila melihat kembali bagaimana cita rasa kita berubah seiring dengan personaliti diri.
Benarkah kamu menyembur haruman berbeza bagi setiap watak yang kamu bawakan?
Betul. Saya memilih haruman setiap karakter yang saya bawa kerana setiap aroma akan membawa saya ke satu era juga tempat, atau mencipta satu-satu perasaan. Saya suka bila saya dapat membezakan karakter yang saya bawakan, meletakkan watak itu pada garis masa hidup saya. Bila menyembur haruman di set penggambaran ia membuatkan saya lebih mudah menghayati watak yang dibawa.
Apa yang membuatkan Gabrielle Chanel Essence haruman yang tepat bagi kamu?
Saya rasa kita akan tahu sendiri apa haruman yang mencerminkan diri kita. Saya sendiri boleh teringatkan si polan itu si polan ini bila terbau mana-mana haruman. Haruman baru Chanel ini saya rasa cukup feminin dan berkuasa. Ia berasa hangat. Bagaikan baunya berkrim, ‘bersinar’ dan tentunya punya kualiti Chanel yang tersendiri. Saya secara peribadinya menggemari tuberose yang memang jelas aromanya dalam Gabrielle Chanel EDP, tapi untuk yang baru ini baunya lebih kuat.
Boleh ceritakan tentang pengalaman untuk penggambaran kempen ini?
Pengalaman yang hebat. Saya berpeluang bekerja dengan jurugambar terkenal, Nick Knight. Dia mencipta set yang besar jadi saya punya ruang untuk saya bergerak. Dia mencipta aliran tiupan angin dengan cara yang cukup genius membolehkan saya melayangkan kain-kain lembut dan ringan dan kain-kain ini berkibar-kibar mengelilingi saya.
Boleh definisikan stail kamu?
Secara peribadinya saya suka helaian yang cantik dan pragmatik. Yang membuat saya berasa bebas bergerak. Saya sukakan sut sutera, sepatu leper dengan adunan gaya antara maskulin dan feminin, yang membuatkan saya berasa yakin, berkuasa dan feminin. Saya rasa tiada yang lebih berharga selain berasa yakin.
Kamu seorang yang feminist dan bagaimana impaknya kepada kamu sebagai seorang penerbit?
Saya memangs eorang yang feminist. Pabila saya dan teman-teman saya menubuhkan syarikat produksi (LuckyChap Entertainment), idea penubuhannya adalah untuk menyajikan cerita yang betul-betul menunjukkan kehidupan wanita dengan telus sama ada menerusi protagonist wanita, pembikin filem wanita. Sebelum ini saya akan baca skrip dan mahu bawakan watak lelaki kerana pada saya watak mereka lebih menonjol, lebih menarik berbanding karakter wanita. Hari ini saya bangga dengan apa yang sudah saya capai, kami sudah bekerja dengan ramai bakat baru yang hebat.
Jika kamu boleh tanyakan satu soalan kepada Gabrielle Chanel, apakah soalannya?
Saya mahu tahu apa dan yang manakah momen dalam susun jalur hidupnya yang dia berasa curiga atau was-was dan apakah yang membuatkannya meneruskan kehendaknya. Mungkin itulah rahsia disebalik kekuasaan dan kejayaannya.