#EHKSKLUSIF, bual santai istimewa EH! bersama Tiffany Young, ahli kumpulan popular Korea, Girl’s Generation.
Lewat petang itu, sekitar 5.30 petang saya diberi peluang menemubual bintang popular yang juga merupakan salah seorang ahli kumpulan masyhur, Girl’s Generation, Tiffany Young. Berlokasikan Hilton Orchard Road, Singapura, saya diberi 15 minit yang sangat berharga untuk saya santai berbual dengan wanita berusia 33 tahun ini.
Tiffany terbang ke Singapura untuk satu acara istimewa anjuran Lancome, yang mana mereka membina pop-up Beauty Tech Flagship mereka yang pertama di Asia Tenggara, yang mana ini adalah ruang terbaik untuk pengunjung mengenali dekat rangkaian Lancome dan juga melakukan pemeriksaan kulit secara percuma. Ikuti temubual eksklusif saya bersama wanita yang dilahirkan di San Francisco, Amerika Syarikat ini.
Siapakah ikon cantik bagi kamu?
Ada beberapa orang yang menjadi pilihan, antaranya Audrey hepburn. Dia seorang yang classy, gayanya malar segar. Marilyn Monroe juga, dia seorang yang sangat natural, sememangnya jelita, personalitinya juga menarik. Satine dari Moulin Rouge juga kesukaan saya. Bibir dan keningnya saya suka. Bila dilihat ketiga-tiga ini, boleh disimpulkan saya sukakan kecantikan yang bersifat malar segar dan klasik.
Girl’s Generation membuat kemunculan kembali. Apa perasaan kamu ketika ini?
It feels amazing. Kami sudah lama bersama dan kini kembali untuk sesuatu yang istimewa buat peminat. Dalam masa yang sama saya rasa sedikit emosi dan juga powerful. Ini adalah satu momen yang cukup berharga untuk kami dan peminat.
Apa bezanya melakukan persembahan secara solo dan berkumpulan?
Apabila muncul di mana-mana pentas, saya tidak pernah ambil mudah. Bagi saya setiap peluang itu adalah satu penghargaan. Apabila melihat orang lain terhibur dengan apa yang sudah saya usahakan, adalah satu perasaan yang sangat menkajubkan. Solo atau berkumpulan tiada bezanya kerana saya sentiasa diiringi penari dan juga penyanyi undangan. Saya tidak pernah berasa seperti penyanyi solo.
Siapa yang menjadi inspirasi muzik kamu?
Buat masa ini Elvis Presly. Saya menonton filem autobiografinya baru-baru ini, so inspiring. Saya juga peminat setia Lady Gaga.
Bagaimana kamu kekal terinspirasi?
Ada yang kata menyanyi atau muzik itu menginspirasikan, tetapi tidak semestinya bagi saya yang menjadikannya nyanyian sebagai kerjaya. Jika kita berlatih seperti atlet, muzik tidak lagi menjadi inspirasi utama. Apabila dalam proses mempersiapkan diri untuk satu-satu persembahan atau projek besar, saya suka pergi menonton persembahan dan juga membaca. Saya memberi inspirasi kepada orang sebagaimana saya terinspirasi melihat mana-mana persembahan.
Apakah produk Lancome terawal yang kamu cuba?
Saya masih ingat, sewaktu masih kanak-kanak saya curi-curi menyembur minyak wangi Miracle ibu saya. Saya rasa seperti wanita dewasa walaupun saya baru 12 tahun. Sewaktu remaja saya sangat suka Lancome Juicy Tubes, saya ada semua warnanya. Paling saya suka yang berwarna biru, rasanya bagaikan soda. Saya memang sukakan glos bibir. Awal tahun 2000-an glos bibir sangat popular dan saya seronok trend ini kembali. Oh saya juga sukakan pencuci solekan Lancome.