Selepas enam tahun menyepi, Victoria’s Secret Fashion Show kembali dengan penuh gaya, membawa pesona glamor yang luar biasa ke pentas runway di New York City, disiarkan di Prime Video dan platform digital seperti YouTube, Instagram, dan TikTok, memberikan akses kepada jutaan penonton di seluruh dunia untuk menikmati pertunjukan fesyen ikonik ini.
Victoria’s Secret Fashion Show 2024 kembali mencuri perhatian dunia dengan keanggunan dan kemewahan yang tiada tandingan. Tahun ini, pertunjukan ini tidak hanya menampilkan fesyen pakaian yang memikat hati tetapi juga memberi tumpuan kepada solekan dan gaya rambut yang menjadi rahsia di sebalik setiap penampilan ikonik setiap model.
Model-model Ikonik
Barisan model terkenal seperti Gigi Hadid, Alessandra Ambrosio, Taylor Hill, Paloma Elsesser, dan Devyn Garcia menghidupkan pentas New York City dengan koleksi menawan yang mencuri tumpuan. Mereka bukan sekadar berjalan di atas runway, keanggunan mereka dihiasi dengan sentuhan magis daripada pasukan profesional di belakang tabir yang bertungkus-lumus menciptakan look yang menawan, menjadikan pertunjukan ini lebih dari sekadar acara fesyen.
Solekan Glamor
Di malam penuh glamor itu, solekan menjadi bintang utama. Dengan mata smokey yang menggoda dan bibir nude berkilau, setiap model melangkah dengan pesona yang tidak dapat ditandingi. Mical Klip, pembantu utama jurusolek terkenal Diane Kendal, menjelaskan, “Kami memilih soelakan mata smokey coklat yang disesuaikan mengikut bentuk mata dan warna kulit mereka.” Hasilnya, setiap model bersinar dan berkilau di bawah cahaya pentas, menjadikan suasana malam itu lebih magis.
Solekan glamor ini bukan sekadar menghias wajah, tetapi juga menambah aura pesona yang sinonim dengan jenama Victoria’s Secret sendiri. Tahun ini, fokus diberikan untuk menonjolkan kecantikan semula jadi para model, dengan sentuhan glamor yang memikat. Dari solekan smokey yang menggoda hingga bibir berona nude yang berkilau, setiap elemen solekan dipilih dengan teliti untuk menyerlahkan ciri unik setiap model.
Dihujani Perhatian
Penampilan model-model ikonik seperti Tyra Banks dan Adriana Lima juga menjadi perbualan. Kedua-dua bekas Angels ini kembali ke pentas dengan penuh keyakinan, menunjukkan bahawa mereka masih mampu mencuri perhatian dengan pesona mereka. Tyra Banks memancarkan aura memikat dengan mata smokey yang dramatik dan berani, manakala Adriana Lima menambah pesona dengan kilauan bronzer yang sempurna, mencipta dimensi pada wajahnya.
Model-model lain seperti Josephine Skriver, Jessie Aina, dan Paloma Elsesser juga tidak kurang hebatnya, menampilkan kecantikan semula jadi yang diperkemaskan dengan sentuhan makeup sofistikated memberikan aura glamor yang sudah sinonim dengan jenama Victoria’s Secret. Setiap sentuhan, daripada bronzer hingga kilauan lip gloss, dirancang rapi untuk memastikan setiap model bersinar di bawah cahaya pentas runway.
Gaya Rambut Yang Berbeza
Dengan semangat baharu, pertunjukan ini memperkenalkan gaya rambut yang berbeza dari tradisi bombshell waves yang bervolume. Ketua hairstylist, Duffy, membawa perubahan dengan memilih gaya ponytail tinggi yang sleek dan potongan pendek yang chic. Gaya rambut ini disertakan dengan waves santai serta wig yang menambah dimensi, memberikan penampilan yang moden dan elegan.
Adriana Lima tampil berani dengan ponytail yang kemas, menonjolkan wajahnya yang anggun. Gaya ini membantu menonjolkan kecantikan semula jadi model-model hebat yang lain seperti Candice Swanepoel dan Anok Yai, sambil memberikan sentuhan segar pada pertunjukan ini kali ini.
Kuku Minimalis Dan Elegan
Sementara gaya rambut dan solekan menjadi tumpuan utama, penampilan kuku juga tidak ketinggalan. Dengan sentuhan bersih dan minimal, kuku model ditata dengan pelbagai warna nude yang elegan. Dawn Sterling, ketua nail artist, menjelaskan, “Kami ingin memastikan semua model kelihatan chic dan bersinar. Manicure yang kami lakukan adalah semulajadi, tidak terlalu merah jambu atau putih, tetapi cukup untuk menyerlahkan keindahan mereka.”
Acara Ikonik
Dengan barisan model ikonik dan wajah baru seperti Paloma Elsesser dan Devyn Garcia, pertunjukan ini memperlihatkan bahawa kecantikan hadir dalam pelbagai rupa sama ada dengan solekan penuh glamor atau minimalis. Penampilan bekas Angels seperti Tyra Banks, Alessandra Ambrosio, dan Taylor Hill, serta persembahan muzik oleh Cher, Tyla, dan Lisa dari Blackpink, menjadikan Victoria’s Secret Fashion Show 2024 sebuah acara yang benar-benar ikonik tahun ini.
Artikel Berkaitan: Gaya Selebriti Hadiri Victoria’s Secret Fashion Show