Hari ini 30 Ramadan, maka lengkaplah sebulan seluruh umat Islam melalui bulan paling dinanti ini. Dan dalam banyak-banyak hari di bulan yang mulia ini, senja 14 Ramadan (26 April) adalah hari yang akan terus segar bugar dalam ingatan saya. Pada saat umat Islam membilang waktu untuk berbuka puasa, Yusshaimi Mohamed Yunus atau sebahagian dari kalian mengenalinya sebagai Emmy Agung pergi dijemput Ilahi.
Emmy yang mula saya kenali lebih 10 tahun dahulu bukan sekadar jurusolek biasa, dia antara sebilangan jurusolek kita yang cukup mencintai bidang kecantikan khususnya solekan. Baginya kerjayanya itu bukan sekadar untuk cari rezeki tapi ia adalah ekspresi cintanya, dan selalunya bila kita lakukan sesuatu dengan penuh minat dan passion, ganjaran wang ringgit bukanlah menjadi hal nombor satu. Semua jurusolek atau pendandan rambut tahu, bayaran merias mendandan untuk editorial tidak mewah, harganya jauh ke belakang jika dibandingkan dengan kerja-kerja komersial mahupun merias pengantin. Tapi itulah Emmy, dia sangat suka menyolek untuk penggambaran majalah. Baginya itulah ruang untuk dia melempiaskan kreativitinya.
Emmy Agung, jika dipanggil untuk menyolek penggambaran majalah, belum kita berikan reference atau konsep, dia selalunya sudah ada idea. Dia akan suarakan ilhamnya, tapi kalau tidak diambil atau diguna buah fikirnya itu dia tidak kecil hati. Paling tidak dia akan kata “tak apa babe, kita simpan untuk next shoot’. Dalam bekerja dia sangat beria-ia, rajin dan sangat sabar, asalkan hasilnya memuaskan hati.
Emmy yang saya kenal sangat luas pengetahuan amnya. Dia suka membaca, menonton video-video di YouTube, dia orang yang cukup menghargai sejarah. Lagi satu ingatannya kuat, dan bila dia bercerita tentang sejarah atau apa-apa sahaja pasti diiringi dengan fakta. Dan pengetahuannya itu banyak dijadikan sumber inspirasi kepada hasil kerjanya. Solekannya sering berkonsep. Lagi satu, orang yang rapat dengannya sudah masak dengan cara dia bercerita. Selain dengan ‘hujah-hujah’, pasti dia akan tunjukkan visual dari telefonnya. Malah kawan-kawan selalu mengajuk cara dia bercerita. Selepas Emmy pergi, kami tidak akan dengar lagi latahnya “Baby can I hold you tonight’, tiada lagi tagline nya “Leha love” atau yang selalu dia sebut bila bercerita “Ni ha” (merujuk kepada maksud inilah).
Emmy yang sebahagian dari kalian kenal memang berwarna karakternya. Orangnya memang ringan mulut, namun kata-katanya jarang sekali menyakitkan hati. Tapi dalam lemah-lembutnya itu, semangatnya tinggi, jiwanya kental. Sampaikan ketika dia sudah tenat, koma tidak sedarkan diri, kawan rapat saya ada yang berkata, “dia Emmy Agung kot, dia kuat. Dia mesti lawan”. Tapi sekuat-kuat Emmy, saya tahu di sudut hatinya dia sudah penat melawan sakitnya itu. Saya tidak akan lupa kiriman videonya kepada saya saat dia sudah lemah, beberapa hari sebelum dia tidak sedarkan diri.
Bila berita Emmy pergi, ramai mendoakan. Dan pada malam pengebumian itu walaupun berlarutan sampai ke jam 1 pagi, ramai yang mengiringinya ke pusara. Pemergian Emmy sangat indah, enam jam selepas dia menghembuskan nafas terakhirnya dia selamat disemadikan. Beberapa jam kemudian hujan lebat membasahi bumi. Dan keesokannya ramai yang berkongsi rasa sedih pemergian Emmy, dan tiap kali membaca atau melihat orang berkongsi gambar dan video bersama Emmy, semudah itu juga air mata saya mengalir. Kaka Azraff, Sazzy Falak, Sharifah Amani, Azira Shafinaz, Daiyan Trisha, Izara Aishah antara sebilangan selebriti yang terkesan dengan pemergian Emmy, mereka juga antara yang banyak menerima sentuhan Emmy.
Emmy yang saya kenal, sangat-sangat menjaga solatnya. Sesibuk mana dia dengan urusan kerjanya, pasti dia mencuri masa untuk menunaikan rukun Islam kedua itu. Jika tidak dapat bersolat pada waktunya, setahu saya dia akan qada’ solatnya itu di rumah. Jika ada penggambaran di pejabat lama (Blu Inc), dia akan tunggu sehingga Maghrib. Dan selalunya dia akan mengajak kawan-kawan di Blu Inc makan malam bersama sebelum dia pulang. Itulah rutinnya.
Pemergian Emmy sukar untuk diterima bagi kami di EH! Hubungan kami dengannya bukan sekadar atas tiket kerja, kami sudah bagaikan satu keluarga. Jika ada majlis-majlis EH!, sebolehnya dia akan bersiap bersama kami, dan dia akan pastikan dia akan bergambar dengan team EH! beramai-ramai usai majlis. Jika kami bersiap di hotel atau apartment, dia akan lepak dan tidur bersama kami selepas acara selesai. Begitulah rapatnya Emmy dengan kami.
Artikel Berkaitan: 5 Produk Wajib Emmy Agung Gunakan Bila Merias Kaka Azraff
Emmy sangat sayangkan anak buahnya, bila tiba hujung minggu akan banyak IG story dia dengan anak buahnya. Aidilfitri ini pastinya berbeza untuk keluarga Emmy, dan kami kawan-kawan rapatnya tidak akan dapat lagi melihat muat naik IG story Emmy bersama keluarganya bertakbir di rumah di pagi 1 Syawal. Dia dan keluarganya sangat akrab. Emmy anak yang taat, sangat memuliakan kedua ibu bapanya.
Lagi satu, lebaran ini juga menjadi lebih sayu buat saya kerana saban tahun Emmy pasti membeli kuih kacang hijau yang emak saya buat sendiri. Selalunya dia akan beli enam balang, dua daripadanya akan disimpan di dalam bilik untuk dia makan sendiri. Dia sangat sukakan kuih itu. Bila terpandang kuih kacang hijau raya ini, pasti hati saya membuah rasa sayu.
Emmya akan terus hidup dalam jiwa saya dan orang yang mengenalinya. Namanya Insya-Allah tidak akan putus dalam doa-doa kita. Moga Allah sentiasa merahmati Emmy di sana. Kami semua akan menyusul pergi mengikut jejak Emmy juga suatu hari nanti.
SELAMAT HARI RAYA EMMY, MAAF ZAHIR & BATIN.
AL-FATIHAH.