Teks : Khairul Abidin
“Aroma ini bagaikan membawa kita mengembara ke sana. Hanya pejamkan mata, nikmati aroma ini dan bayangkan anda berada di sana.”- Olivier Polge, Pakar Haruman.
Jika tahun lalu Chanel bersama Olivier Polge menyajikan peminat haruman dengan Gabrielle Chanel, tahun ini mereka menghadiahkan penggemar Chanel dengan tiga haruman sekaligus. Ikuti temubual eksklusif EH! bersama pakar haruman tersohor ini.
Mengapa ‘Les Eaux De Chanel’ menjadi pilihan untuk haruman baru ini?
‘Les Eaux De Chanel’ melambangkan kesegaran dan keringkasan, seiring dengan koleksi ini.
Mengapa nama tempat menjadi pilihan, dan secara khususnya mengapa tiga destinasi ini?
Secara spontan pun kita akan mengaitkan satu-satu bau dengan satu tempat, aroma itu yang mengingatkan kita dengan persekitaran. Ilhamnya mahu menggabungkan Paris, pusat pembikinan haruman Chanel dengan destinasi kegemaran Gabrielle Chanel. Aoma ini bagaikan membawa kita mengembara ke sana. Hanya pejamkan mata, nikmati aroma ini dan bayangkan anda berada di sana. Ketiga-tiga destinasi ini sangat sinonim dengan Chanel.
Berapa lama masa diambil untuk menyempurnakan koleksi ini? Antara tiga, yang mana satu yang pertama sekali dibikin?
Komposisinya bermula setahun lalu. Tapi pembikinannya antara enam ke sembilan bulan. Saya mengusahakan ketiga-tiganya serentak kerana itu lebih mudah untuk saya menetapkan identiti ketiga-tiganya dari awal. Seingat saya Parise-Venise yang siap dulu.
Ada perancangan mahu melebarkan koleksi ini? Mungkin akan ada destinasi lain di masa hadapan.
Tiga sudah memadai untuk melengkapkan koleksi ini. Ia memberi ruang kepada semua untuk berkreatif dalam memakai haruman ini. Buat masa ini tiada pelan mahu menambah haruman untuk koleksi ini.
Penyembur untuk ‘Les Eaux De Chanel’ juga baru. Boleh ceritakan tentang aplikasi semburan baru ini?
Cara kita memakai haruman hari ini sudah berubah khususnya cara kita menyemburnya. Semburannya lebih penuh dan kembang, bagaikan menyembur mist wajah. Kami mahukan penyembur yang memercikkan haruman yang lebih lebar dan menyeluruh. Ideanya mahu pemakai aroma ini berasa puas bila menyemburnya, tidak lokek. Sepeti dulu-dulu bila mana orang memercikkan eau de cologne.
Apakah bahan utama kepada haruman ini?
Ketiga-tiganya saya campurkan dengan sitrus dari Sicily dan Calabria, Itali. Buah ini diadun cermat. Sitrus itu sendiri adalah sebahagian daripada aroma warisan Chanel, ia mencipta dinamik dan menonjolkan lagi baunya.
Secara ringkasnya boleh simpulkan identiti ketiga-tiga haruman ini?
Paris-Deauville berteraskan kayu-kayuan hijau. Paris-Biarritz pula kental dengan musk manakala Paris-Venise lebih feminin dengan bau batu ambar.
Bolehkah digabungkan ketiga-tiga haruman ini dalam satu masa?
Haruman ini bukan dicipta untuk dicampur-adukkan. Setiap satu ada identiti bau yang tersendiri.