Gaya seni jalanan atau street art menjadi inspirasi bagi SK-II untuk dijadikan sebagai cetakan pada botol SK-II Pitera Essence.
Botol SK-II Pitera Essence tampil berwarna-warni bagaikan mural dinding sekitar kota yang sebahagiannya dilatari dengan lakaran grafiti. Mainan warna ternyata memberi mood berbeza kala terlihat botol yang sinonim dengan gaya minimalis ini.
Menurut Sandeep Seth, ketua Pegawai eksekutif Global SK-II, mereka sentiasa mencari idea bagaimana untuk berasa dekat dengan pengguna mereka. Tidak hanya menerusi produk yang berkualiti, baginya buah fikir untuk pembungkusan juga penting untuk menerbitkan rasa teruja di kalangan pengguna. Dan tahun ini SK-II mahu membawa budaya pop dalam koleksi edisi terhad ini. Dikenali sebagai rejim asas untuk memiliki kulit bersih jernih, Facial Treatment Essence Sudah pun menjengah empat dekad usianya dan sehingga kini digunakan jutaan wanita di seluruh dunia.
Lihat Siapakah Selebriti Yang Berani Bergambar Tanpa Bersolek
SK-II sering tampil dengan idea berbeza dalam memupuk keyakinan wanita untuk tampil polos dan bangga dengan kulit mereka. Mereka mahu mendidik wanita memelihara kulit mereka dengan penuh komited walaupun hanya menggunakan satu produk. Dua tahun lalu SK-II pernah melancarkan kempen #BareSkinProject yang mana beberapa orang wanita dirakamkan wajah mereka yang polos tanpa solekan termasuklah dutanya sendiri Chloe Moretz. Menurut Chloe itulah kali pertamanya wajahnya dirakam tanpa bersolek.
Sempena pelancaran koleksi botol edisi terhad ini, Chloe Moretz, Haruka Ayase dan penyanyi juga penulis lagu, Leah Dou bersatu menyanyikan lagu Fantasy nyanyian asal Mariah Carey di dalam video kempen tersebut. Menariknya lagu nyanyian penyanyi yang baru saja meraih tempat pertama carta Billboard itu dinyanyikan dalam tiga bahasa berbeza oleh tiga wajah rasmi jenama kecantikan yang berasal dari negara matahari terbit ini. Video berdurasi 30 saat itu sudah dilancarkan sejak sebulan yang lalu.