Musim luruh ini Dior Beauty memartabatkan four-leaf clover atau dalam bahasa Melayunya semanggi sebagai inspirasi dalam koleksi mekapnya. Ia dianggap sebagai loket tuah Christian Dior sekaligus menjadi simbol ikonik bagi rumah fesyen Paris ini.
Dinamakan sebagai ‘Lucky Clover’, koleksi ini saya takrifkan cukup comel lebih-lebih lagi bila melihat bungkusannya berhias four-leaf clover. Bagi saya inilah yang membuatkan koleksi ini menjadi satu rangkaian mesti milik khususnya pencinta Dior.
‘Lucky Clover’ hadir dengan tiga produk merangkumi palet pembayang mata, gincu dan juga riasan pipi. Tiap satunya hadir dengan dua pilihan warna yang cukup menarik.
“Daun semanggi warnanya bertukar mengikut musim, dari warna yang sejuk menghijau kemudian bertukar coklat dan merah di musim luruh,” kata Peter Philips, pengarah kreatif Dior Makeup. Dan hal inilah yang menjadi inspirasi Peter dalam menganalisa warna terbaik untuk musim ini.
UNTUK MATA
Dua palet pembayang mata Peter Philips bikinkan untuk peminat Dior musim ini. Satu palet hadir dalam ton hijau manakala yang satu lagi dalam ton coklat kemerahan.
Palet Diorshow 5 Couleurs 365 Charmed Green mencipta keharmonian ton hijau, dari yang terang sampai ke gelap dan terselit satu ton coklat yang akan mengimbangi permainan hijau di kelopak mata.
Palet 883 Lucky Rosewood pula menggandingkan warna coklat kemerahan (burgundy) bersama merah jambu serta coklat dan warna mutiara. Lima pilihan warna yang sudah memadai untuk kreasi solekan mata sepanjang enam bulan musim luruh dan dingin.
UNTUK BIBIR
Rangkaian gincu Dior memang cukup bervariasi dengan pilihan kemasan berbeza dan juga warna yang memikat. Bagi yang sukakan kemasan yang lebih berkilat, Dior Addict untuk anda. Manakala penggemar gincu pusam, Rouge Dior punya seleksi yang cukup menggoda.
Tapi godaan sebenarnya ialah bekas gincu yang Dior ciptakan musim ini. Masih berinspirasikan four-leaf clover, daun semanggi ini dihidupkan pada bekas gincu edisi terhad. ‘Charm’ berhias semanggi hijau. Manakala ‘Lucky’ dalam ton merah jambu yang cukup feminin.
Dua warna baharu diperkenalkan Dior menerusi koleksi ini, yakni Rouge Dior 951 Talisman (warna merah bata) dan juga 211 Fortunate yang hadir dalam ton jingga beradun beige.
UNTUK PIPI
Buat pertama kalinya ‘Rouge Blush’ ditampilkan dalam dua ton dalam satu palet. Mana satu pilihan kalbu, mahu dalam ton koral 889 Charmed Coral, atau mahu yang merah-merah kesamaran 849 Lucky Pink?
Kedua-dua pemerah pipi ini punya biasan berkilauan (shimmer) yang akan buat kompleksi nampak lebih glowing, berseri-seri.
Koleksi ini sudah pun tersedia untuk pembelian dalam talian, dan hanya mula berada di butik Dior Beauty pada 1 September 2026.










