Joe Biden akhirnya ditabalkan sebagai presiden Amerika terbaru, dan antara yang menarik perhatian adalah penampilan selebriti yang membuat persembahan di majlis pertabalan itu termasuklah Lady Gaga, Katy Perry dan Jennifer Lopez. EH! menelek gaya solekan dan dandanan tiga bintang pop berpengaruh ini.
LADY GAGA
Paling menyerlah dan diperkatakan tentulah penampilan Lady Gaga. Dia yang tampil melangkah ke pentas dalam persalinan gaun kembang kustom Schiaparelli hasil rekaan Daniel Roseberry. Lady Gaga disiapkan oleh jruusolek kegemarannya sejak sekian lama, Sarah Tanno. Sarah merias wajah jelita Gaga menggunakan rangkaian kosmetik milik Gaga sendiri yakni Haus Laboratories. Dia mencipta gaya solekan yang klasik dan romantik bila mana fokusnya lebih kepada mencipta satu gaya yang malar segar, sesuai dengan majlis yang dianggap bersejarah bagi rakyat Amerika Syarikat. Sarah memberi asas solekan yang bersih, tidak tebal atau banyak bermainw arna. Dia memberi fokus pada bibir sahaja yang mana dia mencalitkan gincu Merah menyala pada bibir Gaga yang ditugaskan menyanyikan lagu kebangsaan di majlis itu.
Bukan sahaja gaun yang digayakan gaga mendapat liputan meluas, dandanannya juga menarik tumpuan. Rambut Gaga dalam ton platinum itu didandan sanggul, yang mana sanggulnya bagaikan gaya milkmaid, dan tocangnya itu diselang-seli dengan reben hitam dan melintang di tengah kepala. Dandanan Gaga disempurnakan oleh Frederic Aspiras.
Artikel Berkaitan: Komen Lady Gaga Tentang Keintimannya Dengan Bradley Cooper
KATY PERRY
Michael Anthony dipertanggungjawabkan Oleh Katy Perry untuk meriasnya di majlis ini. Katy yang tampil dalam persalinan serba putih ilham Thom Browne tampil cukup sleek dengan solekan yang sangat ringkas. Menurut perkongsian Michael di Instagramnya, dia menggunakan rangkaian produk dari Armani Beauty untuk melengkapkan solekan ini. Dia menggunakan bedak asas Luminous Silk Foundation dalan kod 4.5 dan mencipta kontur menggunakan ton lebih gelap iaitu 5.5. Bibir Katy pula dicalitkan dengan gincu merah jambu.
Dandanan Katy yang menyampaikan lagu Firework pula disempurnakan oleh Rick Henry yang sememangnya sudah begitu sinonim bekerja dengan Katy. Dia mencipta gaya dandanan yang cukup sleek yang mana rambut Katy disikat belah tengah dan disudahkan dengan gaya low bun.
JENNIFER LOPEZ
Penyanyi yang Bermula sebagai penari latar ini tampil dalam busana sedondon Chanel dan penampilannya itu disempurnakan dengan gaya dandanan ponytail penuh volum. Tidak terlalu edgy, ponytail yang digayakan Jlo tampil dalam gaya biasa tapi diserlahkan dengan juntaian rambut yang lebat dan penuh volum. Hujung rambut dibiarkan ikal dan berombak besar. Gaya sebegini pernah digayakan Jlo sebelum ini tapi dianggap sesuai dengan majlis. Rambutnya disempurnakan oleh Chris Appleton, pendandan rambut yang sama menyiapkan rambutnya untuk persembahannya di Super Bowl dulu.
Untuk solekannya Jlo tampil dalam gaya solekan berkabut atau smokey tapi tidak dalam gaya hitam sebaliknya dia memilih pembayang mata warna kelabu. Pada sudut dalam matanya pula, jurusolek David Velasquez mencalitkan pembayang mata warna putih berkemilau untuk mencipta gaya yang sedikit dramatik.