Saya punya ramai jurusolek kegemaran, baik tempatan mahupun antarabangsa. Jika di peringkat antarabangsa, Hung Vanngo antara yang sering menjadi pilihan. Seringkali saya ‘stalk’ Instagram nya semata-mata mahu melihat hasil kerja terbarunya. Dia antara jurusolek yang disenangi selebriti Hollywood. Antara yang sering memanggilnya ialah Selena Gomez, Emily Ratajkowski, Julianne Moore dan termasuklah bintang Bollywood, Deepika Padukone.
Jadi bila tiba majlis anugerah pastinya saya ternanti-nanti siapakah yang menerima riasan magis Hung Vanngo. Untuk Golden Globes yang berlangsung semalam, Hung Vanggo telah menatarias wajah Jodie Comer, yang mana pelakon kelahairan Liverpool ini tercalon dalam katagori aktres terbaik untuk siri TV menerusi aksi hebatnya di dalam siri Killing Eve.
Untuk menyempurnakan look Jodie Comer semalam, Hung Vanngo banyak menggunakan rangkaian alat solek Chanel. Dan yang mencuri perhatian saya ialah dia menggunakan pembayang mata jenis cecair, terbaru dari Chanel; Ombre Premiere Laque Longwear Liquid Eyeshadow dalam dua ton iaitu “Rising Sun” and “Desert Wind”. Selain permaianan pembayang mata, apa yang saya suka tentang solekan ini ialah betapa kemasnya cara Hung Vanngo membentuk kening Jodie. Bulu keningnya bagaikan tersusun satu-satu. Begitu juga dengan layangan pemerah pipi, cukup-cukup sahaja namun tidak terlalu polos.
Jadi apa pendapat anda tentang gaya solekan ini? Saya suka!