Seiring dengan busana dan konsep persembahan yang dirancang teliti, solekan setiap selebriti turut memainkan peranan penting dalam membentuk keseluruhan visual di pentas. Setiap look hadir dengan identiti tersendiri, bukan sahaja menyerlahkan kecantikan, malah melengkapkan karakter serta aura seseorang penyanyi ketika beraksi di hadapan penonton.
Malam kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) bukan sekadar medan untuk menyaksikan karya muzik terbaik tanah air dipersembahkan, malah turut menjadi pentas fesyen dan kecantikan yang sentiasa dinantikan. Berlangsung pada 15 Ogos 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, edisi istimewa sempena empat dekad AJL ini menyaksikan barisan penyanyi tampil dengan persembahan, busana dan gaya kecantikan yang cukup tersendiri.
Daripada rona pastel yang lembut, kilauan glitter dan sequin, hinggalah permainan rhinestone serta solekan mata yang dramatik, setiap penampilan membawa daya tarikan tersendiri. Ini antara momen solekan selebriti di pentas AJL40 yang mencuri perhatian EH! pada malam penuh glamor tersebut.
Aisha Retno
Membawakan lagu Tak Adil ke pentas final AJL40, Aisha Retno tampil dengan solekan yang cukup berani sentuhan jurusolek Dizeyazid yang mengetengahkan permainan warna sebagai fokus utama. Bahagian mata Aisha dihiasi rhinestone warna-warni yang disusun sebagai elemen statement, manakala eyeshadow rona pink dan merah dibaurkan dalam teknik ombre untuk menghasilkan dimensi yang lebih menyerlah. Menariknya, palet warna yang sama turut diteruskan pada bibir menerusi lip liner rona lebih gelap sebelum disudahi dengan warna nude.

Daiyan Trisha
Membuat kemunculan di pentas AJL buat kali pertama sebagai penyanyi jemputan, Daiyan Trisha hadir dengan pendekatan kecantikan yang lebih lembut menerusi solekan rona peach oleh Kevin Lee. Warna hangat ini memberikan wajah Daiyan penampilan yang segar, manis dan berseri tanpa kelihatan berlebihan. Sentuhan Kevin Lee turut menyerlahkan struktur wajah dengan kemasan yang kemas dan soft, menjadikan keseluruhan look Daiyan tampak effortless tetapi tetap sesuai untuk pentas sebesar AJL.

Wani Kayrie
Selepas penantian selama 11 tahun untuk kembali ke pentas AJL, Wani Kayrie akhirnya membuat kemunculan di pentas final menerusi Cak Cak Cekuk. Solekan Wani oleh Eppy Tralala pula tampil playful, feminin dan penuh karakter. Bahagian mata menjadi tarikan utama apabila dihiasi sequin serta glitter rona pink yang memberikan efek berkilau di bawah cahaya pentas. Sentuhan tersebut bukan sahaja menyerlahkan mata Wani, malah berjaya menterjemahkan sisi ceria dan energetic penyanyi itu, selari dengan karakter persembahannya.

Aina Abdul
Jika bercakap mengenai persembahan AJL, Aina Abdul sememangnya antara nama yang sentiasa dinantikan. Menerusi lagu Kamu, Aina tampil dengan konsep persembahan yang berbeza daripada kebiasaannya. Busana yang digayakan Aina merupakan rekaan Melinda Looi, manakala solekan oleh Bobo Cinta melengkapkan keseluruhan aura dramatik dan artistiknya. Dengan karakter solekan yang lebih statement, penampilan Aina kelihatan seimbang dengan busana serta konsep persembahan, sekali gus mengukuhkan identitinya sebagai antara selebriti yang cukup berani bereksperimen.

Marsha Milan
Marsha Milan kembali ke pentas final menerusi Tangisan Seorang Pendosa dan sekali lagi tampil dengan aura elegan yang menjadi identitinya. Solekan oleh Ady Razak menampilkan pendekatan soft glam dengan eyeshadow rona keemasan yang memberikan kilauan halus pada bahagian mata. Tidak terlalu sarat, namun cukup untuk menyerlahkan wajah Marsha di bawah pencahayaan pentas. Sentuhan keemasan tersebut turut memberikan hasil akhir yang mewah, sesuai dengan persona Marsha yang sentiasa kelihatan polished.

Nabila Razali
Nabila Razali turut mencuri perhatian menerusi penampilan kecantikan yang cukup icy dan dreamy. Solekan oleh Naqiah Rahim mengetengahkan rona icy blue pada bahagian mata, menghasilkan efek bak salju yang memberikan dimensi unik pada wajah. Lebih menarik, elemen manik turut diletakkan pada bahagian pipi untuk menambahkan sentuhan futuristik dan menjadikan solekan lebih statement. Solekan mata yang menjadi fokus utama kemudian diseimbangkan dengan rona soft pink pada pipi serta bibir yang lembut.

Dayang Nurfaizah
Sudah semestinya Dayang Nurfaizah tampil dengan sentuhan jurusolek pilihannya, Khir Khalid, untuk malam penuh prestij ini. Hubungan kreatif antara kedua-duanya bukan sesuatu yang baharu, malah Khir telah lama menjadi antara individu penting dalam membentuk imej glamor Dayang untuk pelbagai acara besar. Digayakan dengan gaun rona merah, Dayang tampil dengan solekan glam yang menampilkan smokey eyes serta glitter eyeshadow bagi memberikan impak lebih dramatik pada bahagian mata. Bibir pula diserikan dengan gincu merah daripada Maogeping, menyatukan keseluruhan penampilan dalam satu palet warna yang bold, elegan dan klasik.

Ernie Zakri
Menjadi penyanyi jemputan bersama suami tersayang, Syamel, Ernie Zakri tampil dengan penampilan yang cukup memukau di pentas AJL40. Solekan Ernie oleh jurusolek Sahir Sabri pula mengetengahkan elemen statement pada bahagian bibir, menjadikan wajahnya kelihatan lebih berani dan glamor. Bibir Ernie dihiasi glitter rona merah yang memberikan efek berkilauan di bawah cahaya pentas. Sentuhan ini cukup mencuri perhatian dan menjadi fokus utama pada penampilannya malam itu.

Misha Omar
Turut mencuri perhatian ialah Misha Omar yang tampil dengan sentuhan solekan oleh Ahma Dhani. Solekannya mengetengahkan kecantikan Misha dengan kemasan yang elegan, memberikan keseimbangan antara glamor pentas dan sisi feminin penyanyi itu. Sebuah beauty look yang ringkas tetapi tetap mempunyai impak, sesuai dengan imej Misha yang sentiasa kelihatan anggun dan berkelas.

Ziana Zain
Legenda tanah air, Ziana Zain, turut tampil dengan aura tersendiri di pentas AJL40. Untuk malam istimewa ini, Ziana dirias oleh jurusolek Ary Muzamer yang mengetengahkan kecantikan klasik sebagai pelengkap penampilannya. Solekan yang kemas dan elegan menyerlahkan raut wajah Ziana, membuktikan bahawa gaya timeless beauty sememangnya cukup serasi dengan penyanyi ikonik ini.

Artikel Berkaitan: Aina Abdul Sebagai ‘Gunung Berapi’ Dalam Rekaan Melinda Looi Untuk AJL40
