EH! menghubungi jurusolek selebriti tersohor, Bosco Ryzal bercerita tentang sentuhannya buat Aina Abdul di malam pertama A Night with Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya.
Apakah konsep solekan yang Bosco cipta untuk Aina untuk konsert tempoh hari?
Saya mencipta solekan yang ringkas, yang memberi tumpuan pada mata. Saya mencipta gaya smokey dengan kemasan glitter. Gaya ini mudah disesuaikan dengan semua baju, memandangkan busana Aina malam itu bermacam-macam warna.
Apakah elemen penting untuk solekan pentas?
Solekan yang kita buat selain perlu nampak menonjol di atas pentas, penting juga untuk ia tahan lama. Jadi saya hasilkan asas solekan yang pusam (matte), jadi mekap tak nampak berminyak atau mudah bercapuk.
Berapa lama menyiapkan solekan ini?
Lebih kurang 30 minit kerana saya sudah biasa merias wajah Aina jadi saya sudah faham wajahnya. Lagipun solekan mata smokey sudah jadi permainan saya.
Apakah antara produk yang Bosco gunakan?
Saya mulakan dengan melembapkan wajah Aina dengan Dr Dennis Gross Moisturizer dan juga serum dari La Mer. Bedak asasnya pula saya gunakan dari Nars. Untuk penyamar noda pula Anastasi Beverly Hills menjadi pilihan. Untuk gincu pula saya pilih kemasan pusam.
Glitter apa yang Bosco gunakan pada mata Aina?
Oh yang itu saya beli di New York. Malam itu saya juga memakaikan Aina tiga lapis bulu mata palsu termasuk satu lapis untuk bulu mata bawah.
Pandangan peribadi Bosco tentang Aina Abdul.
Dia seorang yang bukan sahaja penyanyi tetapi seorang penghibur. Bagi saya dia adalah PRIMADONA PENTAS!