Penyanyi R&B Mary J. Blige dirias menggunakan rangkaian alat solekan Fenty Beauty untuk persembahan ikoniknya bersama ‘batalion’ hip-hopnya di Super Bowl.
Isnin pagi lepas (waktu Malaysia), barisan penyanyi rap dan hip-hop tersohor era 2000-an seakan mengheret sesetengah kita ke era muda belia, mengimbau pelbagai memori menerusi satu persembahan ikonik di Super Bowl 2022. Dari Dr Dre ke Snoop Dog bawa ke Eminem juga Mary J Blige yang menjadi satu-satunya penghibur wanita yang diundang menyanyi di pentas. Barisan lagu ikonik era 2000-an berkumandang di seluruh stadium SoFi, Los Angeles.
Pada usia setengah abad, Mary J Blige membuktikan dia antara penyanyi R&B yang punya legasi tersendiri. Mendendangkan ‘Family Affair’ dan ‘No More Drama’, Mary tampil dengan helaian putih berperincian jemeki perak sebagai pelengkap penampilannya itu.
Disolekkan oleh Porche Cooper, rata-rata alat solek yang digunakannya datang dari Fenty Beauty. Porche berkongsi lima item yang menjadi kunci penyempurna riasannya buat legenda itu.
Usai menyiapkan asa solekan, dari melembap, primer, bedaka asas juga penyamar noda, Porche menggunakan Fenty Beauty Diamond Bomb All-Over Diamond Veil in Cognac Candy dan dicampur bersama Fenty Beauty Liquid Killawatt Fluid Freestyle Highlighter in Honey Hawtie yang dicalit pada tulang pipi, hidung dan juga sedikit pada mata untuk mencipta wajah yang lebih berdimensi saat cahaya sorot menyentuh wajahnya.
Untuk solekan mata pula, Porche memilih untuk mencipta gaya solekan mata berkabut (smokey eyes) dan dia menggunakan palet pembayang mata Fenty Beauty, Snap Shadows Mix & Match Eyeshadow Palettes. Dia mencipta ilusi mata yang lebih galak dengan menggunakan penggaris mata yang digariskan apda seluruh mata, efeknya mata tampil lebih ‘dalam’ dan intense.
Mengimbangi solekan ‘garang’ pada mata, Porche memilih calitan gincu yang lebih ringan warnanya. Dia menggunakan gincu terbaru Fenty Beauty, Icon Refillable Lipstick dalam kod Motha Luva. Warnya berira merah samar, dan dia hidupkan calitan gincu tersebut dengan melapiskannya dengan glos bibir paling laris di Fenty Beauty, Gloss Bomb Universal Lip Luminizer kod Fenty Glow. Hasilnya? Cukup glamorous!