Mungkin menyedari pasarannya semakin meluas, rumah-rumah fesyen hari ini tidak hanya memanjangkan senarai produk mereka dengan menambah haruman, malah mereka juga sudah mula melancarkan produk cantik mereka sendiri. Jika berpuluh tahun dahulu hanya Dior dan Chanel sahaja antara jenama fesyen yang memberi fokus seimbang kepada fesyen dan kecantikan, lewat tahun kebelakangan ini sudah banyak label fesyen menuruti jejak yang sama.
Terbaru Hermès, bulan ini mereka mula melancarkan rangkaian kecantikannya. Bermula dengan gincu, kerja-kerja kajian penghasilan rangkaian Hermès Beauty sudah bermula sejak lima tahun dulu, dan Agnès de Villers, selaku ketua pegawai eksekutif mengetuainya. Tambah menarik, Hermès Beauty tidak hanya berdiri sendiri malah mendapat sentuhan Pierre-Alexis Dumas, yang merupakan pengarah artistik rumah fesyen Paris ini.
Menurut Pierre-Alexis Dumas, Hermès Beauty diasaskan dengan tujuan mahu menonjolkan kecantikan semula jadi yang sudah sedia ada, dan Hermès mahu menambah unsur elegan, keselesaan dan keseronokan pada pencinta kecantikan. Pilihan warna yang pelbagai pula adalah satu medium menyerlahkan personaliti individu.
Buat permulaan Hermes Beauty memasarkan rangkaian gincunya (dinamakan sebagai Rouge Hermès) terlebih dahulu dan pada bulan September nanti akan muncul pula rangkaian baru. Jika kita masih belum mampu memiliki Birkin atau Kelly, mungkin kita boleh mulakan dengan mendekati gincu mereka. Koleksi ini boleh dimiliki di kaunter Hermes di Parkson Pavilion.