Solekan mata berkabut memang cantik bila kena dengan bentuk mata dan teknik yang betul. Malah, solekan mata juga mampu mengubah bentuk wajah seseorang.
Jika anda tahu teknik yang betul, anda boleh menghasilkan mata yang kelihatan lebih memukau, namun andai tersilap langkah, solekan yang salah boleh menyebabkan wajah anda hilang serinya. EH! kongsikan cara dan teknik yang betul buat anda para gadis!
Mata Bundar
Jenis mata: Bulat dan besar.
Teknik: Sapukan penyerlah bawah tulang kening. Warnakan sudut dalam mata dengan pembayang mata ton cerah. Sapukan pembayang mata rona sederhana di bahagian kelopak.
Gunakan warna pembayang gelap di lipatan kelopak dan adun keluar untuk mencipta ilusi berkabut. Gariskan penggaris mata hingga hujung mata atau anda boleh tarikkan sedikit garisan mata untuk menjadi eye-cat.
Mata Redup
Jenis mata: Kelopak mata tidak kelihatan/sempit.
Teknik: Mulakan dengan warna cerah di sudut dalam mata. Kemudian sapukan pembayang warna sederhana di kelopak. Ambil warna gelap sapukan di lipatan kelopak untuk memberikan ilusi mata yang lebih bulat. Lukiskan garisan mata dan tarik hingga hujung mata bagi menyeimbangkan bentuk mata.
Mata Menonjol
Jenis mata: Kelopak mata yang luas dan bentuk mata besar
Teknik: Oleskan penyerlah pada bahagian bawah tulang kening. Gunakan warna pembayang mata sederhana gelap dan gelap, sapu pada kelopak dan lipatan kelopak mata. Elak melukis garisan mata yang tebal atau berlebihan, cukup dengan garisan tipis sahaja.
Mata Sepet
Jenis mata: Tidak mempunyai kelopak mata
Teknik: Gunakan penyerlah/pembayang mata cerah dan sapukan dari sudut dalam mata hingga tengah mata. Ambil warna pembayang mata rona sederhana, sapu bermula dari lipatan tengah mata hingga keluar bahagian mata. Dengan teknik yang sama, tukar dengan warna yang lebih gelap dan kemaskan. Tambahkan garisan mata, tebalkan di bahagian hujung mata.