Kening adalah bingkai wajah, ia antara fokus utama dalam solekan kerana bentuk dan stail kening berbeza akan mencipta mood solekan yang berlainan juga. Ini empat pensel kening kesukaan EH! buat masa ini.
Gucci Beauty Stylo À Sourcils Waterproof
Gucci Beauty memperkenalkan pensel matanya yang baharu, selain kalis air ia juga hadir dengan enam pilihan warna yang boleh disesuaikan mengikut warna kening anda. Mata penselnya halus dan tajam, satu kelebihan untuk mencipta efek ‘feathery’ brow’ yang tampak semula jadi. Ia juga dilengkapi dengan berus (spoolie) untuk memperkemaskan bulu kening. Pensel kening ini akan berada di butik Gucci Beauty bermula Ogos 2021 nanti.
Tip Merias Kening Daripada Thomas De Kluyver, Gucci Global Makeup Artist
1- Layang atau sapukan bedak pada area kening untuk menyediakan kening, membuatkan kening seakan pusam dan tidak berminyak nanti.
2- Beruskan kening menggunakan spoolie. Berus mengikut bentuk semula jadinya; pada pangkal biasanya ke atas, dan dari bahagian tengah dan ke hujungnya, beruskan dalam gaya sedikit condong dan ke bawah.
3- Isi ruang kening yang kosong dengan pensel kening. Mulakan dari bahagian tengah bukannya dari pangkal kening untuk hasil yang lebih semula jadi dan lembut. Usah tekan terlalu kuat, cukup sekadar lukis dengan lembut.
4- Akhir sekali berus semula kening dan perhatikan jika ada ruang kosong, isi dan lukis (touch up) semula kening.
Diorshow Kabuki Brow Styler
Ini adalah item penting di mana-mana pertunjukan fesyen Dior dan menjadi kegemaran terbaru Peter Philips, pengarah kreatif Dior Makeup. Istimewanya pensel kening ini adalah mata penanya tampil bersegi/triangular (menyerong), dan merupakan kali pertama diperkenalkan di Dior. Ia juga dilengkapi dengan berus kabuki pada hujungnya. Berus kabuki ini bagus untuk mencipta warna kening yang sekata dan bersahaja. Punya enam pilihan warna dan ia mampu tahan lebih kurang 12 jam.
Rare Beauty by Selena Gomez, Brow Harmony Pencil & Gel
Mata penanya menyerong lantas memudahkan untuk sesiapa melukis kening, hanya tarik-tarik lembut mata pena di celah-celah bulu kening. Ia juga dilengkapi dengan gel jernih untuk merapi kening, satu kelebihan yang tidak ditawarkan mana-mana pensel mata yang lain, 2 dalam 1. Ia punya lapan warna untuk anda pilih.