Miss Dior, minyak wangi pertama yang dilancarkan oleh Dior kini dimunculkan dalam edisi baharu, lengkap dengan gaya reben yang lebih klasik dan ikonik. Dan masih kekal bersama Natalie Portman.
Penggemar Miss Dior pasti tahu kisah di sebalik pengenalan haruman ini. Minyak wangi ini adalah penghargaan Mr Christian Dior buat adiknya, Catherine Dior yang disimbolkan sebagai sebuah cinta dan keberanian. Catherine Dior menyertai perang dunia kedua pada tahun 1941, dan tiga tahun kemudian dia ditangkap dan dipenjarakan. Catherine berjaya melarikan diri pada tahun 1945.
Apabila Christian Dior memperkenalkan ‘New Look’ pada Februari 1947, ruang pertunjukkan koleksinya itu disembur dengan ‘haruman’ Miss Dior, yang Christian Dior takrifkan sebagai ‘aroma cinta’.
WAJAH BAHARU MISS DIOR
Haruman kebanggan Dior ini sudah dipanjangkan dalam pelbagai versi, baik dari baunya hinggalah rupa botolnya. Tahun ini, Dior memperkenalkan Miss Dior Eau De Parfum 2026, menyatukan nota-nota segar seperti vanila, badam, kayu cendana (sandalwood), patchouli dan semestinya bunga-bunga mawar dari Grasse, selatan Perancis.
Selain baunya, salah satu keunikan haruman ini ialah hiasan reben pada penutup botolnya. Di era baharu ini, Dior mahu mengembalikan nostalgia dengan memperkenalkan tiga edisi reben baharu yang mana Dior memilih menampilkan reben dalam corak ikoniknya sendiri, houndstooth. Kisahnya, gaya reben di Dior diambil inspirasinya dari gaya klasik persalinan lelaki, bowtie. Reben menggunakan material jacquard ini tampil dalam tiga warna pilihan, merah jambu, hitam-putih dan juga kelabu gelap.
Kempen haruman yang terkenal dengan tagline “And you, what would you do for love” ini masih mengekalkan pemenang Oscar, Natalie Portman sebagai wajah rasminya. Haruman ini akan mula berada di pasaran bermula pada 24 Ogos 2026, di butik kecantikan Dior mahupun secara dalam talian.





