Mendengar bunyi ombak laut atau menikmati keindahan kota-kota besar membuatkan kita terlupa seketika kesibukan kerja dan stres di pejabat.
Namun dalam keterujaan bercuti, jangan lupa akan penjagaan kulit agar sentiasa kelihatan cantik, berseri dan segar sepanjang percutian. Sudah semestinya setiap kali bercuti, musuh utama adalah sinaran matahari berbahaya akan memberi kesan kepada kulit terutama di bahagian yang terdedah terutama wajah.
Tidak dinafikan sinaran matahari baik untuk kulit terutama pada waktu antara jam tujuh hingga sembilan pagi. Waktu sinar matahari hangat itu adalah saat paling baik untuk terdedah dengan matahari. Tidak perlu rasa takut untuk berada di bawah sinarannya kerana ia baik untuk tubuh.
Ia memberikan vitamin D yang baik untuk tulang. Bagaimanapun sekiranya berlebihan ia memberikan kesan yang tidak baik dan paling nyata kulit wajah menjadi gelap dan kering.
Sentiasa bawa barangan kecantikan yang anda sering gunakan ketika melancong dan boleh bawa produk asas yang penting sahaja. Jangan amalkan sikap membeli produk kecantikan di tempat anda melancong kerana bereksperimen dengan produk baru semasa melancong bukan idea yang baik.
Bawa tisu antibakteria bersama
Tisu antibakteria sangat berguna kerana anda boleh menyegarkan kulit apabila ia berminyak dan kotor. Tisu juga satu alternatif yang baik jika anda tidak dapat mencuci wajah dengan air.
Pelembap Bibir
Bibir cenderung menjadi kering dan luka ketika melancong. Jadi melembapkan bibir adalah perlu kala bercuti. Oles salap bibir dengan SPF15 bagi melindungi bibir dari kering. Pastikan salap bibir sentiasa ada dalam tas tangan anda.
Sentiasa minum air untuk mengelakkan dehidrasi
Banyakkan meminum air sepanjang hari kerana air melembapkan kulit kita. Kekurangan air dalam tubuh badan mengakibatkan kulit tampak kering kusam dek selaran sinaran UV ini.
Krim pelindungan sinaran matahari
Jika anda melancong ke kawasan yang bercuaca panas, pastikan anda memakai krim pelindung UV (lebih 50 PA). Bukan sahaja bila cuaca panas, jika anda bercuti di kawasan yang bercuaca sejuk juga, anda harus memakai krim pelindung UV bagi mengelak kulit wajah menjadi gelap. Sekiranya anda memiliki kulit yang berminyak atau liang pori besar sebaiknya pilih krim yang berbentuk cecair atau gunakan jenis semburan kerana ia lebih ringan dan tidak menimbulkan masalah pada kulit. Krim pelindung yang berbentuk stick tahan lebih lama kerana ia kalis air dan peluh.
Pakai pelembap muka dan badan
Perjalanan jauh sering megeringkan kulit wajah dan badan. Pastikan anda sentiasa memakai krim pelembap muka dan badan. Gunakan ia untuk mengelakkan kulit kering menjadi lebih kering.
Makanan Sampingan
Vitamin tidak seharusnya dipandang remeh kerana sumber nutrisi ini menjadikan tubuh anda segar dan sihat secara efektif. Selain memakan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam kadar yang banyak, pil tambahan juga perlu dibawa. Anda juga boleh mendapatkan suntikan imunisasi jika destinasi percutian anda adalah di lokasi yang terdedah dengan pelbagai wabak berjangkit.