Banyak muslihat yang boleh dicuba dalam memelihara kecantikan. Sebahagiannya tidak pernah kita terfikir akan keberkesanannya. Namun tidak salah mencuba sendiri, jika berkesan boleh diteruskan jika sebaliknya anggap saja satu eksperimen.
EH! kongsikan 10 tip dan trik cantik yang mungkin sedikit pelik namun tidak salah untuk kamu cuba.
1. Ada jenis-jenis masakara tertentu mudah sekali kering. Jika ini berlaku, kamu boleh cuba titiskan beberapa titis penitis mata (eye drop) ke dalam botol maskara dan kocakannya dengan berus.
2. Jika mahu efek kilau (highlight) dan lembap pada bahagian mata, kamu boleh gunakan salap bibir. Sapukannya menggunakan putik kapas dan calit sedikit pada sudut dalam mata. Antara selebriti yang suka melakukan trik ini ialah Miranda Kerr.
3. Trik ini mungkin boleh dicuba (tapi sedikit merbahaya). Jika pensel penggaris mata kamu tidak lekat warnanya, kamu boleh cuba bakar sedikit dakwat penggaris mata (menggunakan lighter). Kemudian calitkan sedikit pada tangan dan bila terasa sedikit sejuk baru kamu luncurkan pensel penggaris mata pada mata.
4. Mahu tahu cara mudah mengeringkan pewarna kuku dengan pantas? Mungkin kamu boleh cuba trik ini, masukkan kuku yang sudah diwarnakan dalam air sejuk (jika boleh yang berisi ais batu). Cara ini membuatkan pewarna kuku kamu kering dengan pantas. Cubalah!
5. Jika pembersih solekan kamu sudah habis, kamu boleh cuba menggunakan minyak zaitun. Titiskan pada tangan dan gosokkan pada muka atau boleh juga titiskannya pada kapas, dan bersihkan wajah dengannya.
6. Selain menyapunya secara berasingan (berlapis), kamu juga boleh campurkan krim pelembap bersama bedak asas cecair. Campur dan adun mesra dengan berus dan terus ratakannya pada wajah. Ia membuatkan sapuan lebih rata memandangkan kanvas wajah dilembap sempurna.
7. Pemerah pipi biasanya cepat pudar. Bagaimana mahu membuatw arnanya tahan lama? Sapukan pemerah pipi tekstur krim pada wajah yang baru disapu bedak asas (sewaktu bedak asas belum diserap kulit sepenuhnya). Kemudian lapisi bedak asas dan pemerah pipi tadi dengan bedak tabur jenis translucent.
8. Mahu lembapkan rambut secara semula jadi? Mungkin kamu boleh cuba pupur rambut buatan sendiri dengan mencampurkan avokado bersama minyak zaitu. Campur dan kacau kemudian sapukan pada rambut. Biarkan 15 minit sebelum dicuci bersih dengan air.
9. Tidak tahu berkesan atau tidak, tapi saya ada terbaca satu trik dalam satu majalah kecantikan antarabangsa satu ketika dulu. Tipnya, jika mahu bibir tampak penuh dan sedikit tebal, sapukan sedikit minyak kayu manis pada bibir. Mungkin sudah tiba masa untuk saya mencuba trik ini. Mungkin kamu juga.
10. Mahu bulu mata tampak tebal? Selepas menyapu satu lapis maskara, ambil putik kapas dan sapukan bedak bayi pada tiap helai bulu mata. Kemudian sapukan kembali maskara dan kamu akan perasan bulu mata kamu tampak lebih tebal.