Jangan cuma manjakan wajah dengan segala rutin mewah sehingga lupa penjagaan ketiak yang memberi impak pada keyakinan diri kita. Bila ia terjaga, kita bebas nak angkat tangan tanpa risau, pakai apa saja tanpa was-was, dan bergerak dengan lebih yakin.
Penjagaan wajah memang sudah menjadi rutin wajib, serum, pelembap, sunscreen semua lengkap. Tetapi bahagian pula dengan bawah lengan? Kadang-kadang kita lupa. Padahal, bahagian ketiak juga perlukan perhatian yang sama. Bila ketiak bersih, tak berbau dan nampak cerah, rasa yakin tu datang dengan sendiri. Tidak perlu risau bila angkat tangan, tak rasa segan nak pakai sleeveless.
Saya faham, tak semua orang tahu nak mula dari mana. Sebab tu EH! ingin kongsikan cara mudah dan realistik untuk jaga bahagian yang satu ni. Tidak perlu berjam-jam atau produk mahal pun, yang penting, konsisten dan tahu apa yang kulit perlukan.
1. Pemilihan Deodoran
Ramai yang tidak sedar, deodoran yang memiliki alkohol dan bahan kimia tertentu boleh merengsakan kulit ketiak. Ini bukan sahaja menyebabkan rasa gatal dan pedih, malah boleh mencetuskan hiperpigmentasi. Jadi pilihlah deodoran yang berasaskan bahan semula jadi, bebas alkohol dan pewangi sintetik, atau beralih kepada krim deodoran yang lebih lembut pada kulit.
2. Elakkan Mencukur
Mencukur dengan pencukur lama atau tumpul boleh menyebabkan mikro-kecederaan pada kulit ketiak. Ini mendorong keradangan dan kegelapan jangka panjang. Untuk hasil lebih lembut, gunakan pencukur baharu dan sapukan krim pencukur atau gel pelembap terlebih dahulu sebelum mencukur. Jika mahu lebih tahan lama dan tidak menyakitkan, pertimbangkan kaedah seperti waxing atau laser.
3. Skrub Sekali Seminggu
Sama seperti muka dan badan, kulit ketiak juga memerlukan pengelupasan lembut untuk menanggalkan sel kulit mati yang boleh menyebabkan kegelapan. Gunakan skrub halus atau exfoliator lembut seminggu sekali untuk mengekalkan kulit yang cerah dan licin. Boleh juga cuba bahan semula jadi seperti campuran yogurt dan oat.
4. Pastikan Ketiak Kering
Bakteria suka tempat yang lembap dan tertutup jadi itulah sebabnya bau badan paling kuat datang dari ketiak. Pastikan ketiak sentiasa kering, terutamanya selepas mandi. Gunakan tisu kering atau sapu sedikit bedak antibakteria sebelum menyarung pakaian. Elakkan memakai pakaian terlalu ketat atau fabrik yang tidak menyerap peluh.
5. Gunakan Masker Ketiak
Ya, anda tidak salah baca. Masker untuk ketiak boleh membantu memudarkan kegelapan dan menenangkan kulit. Gunakan masker clay atau charcoal yang dirumus khas untuk kawasan sensitif sekurang-kurangnya seminggu sekali.
6. Pemakanan Sihat Dan Air Yang Cukup
Apa yang anda makan juga mempengaruhi bau badan. Jadi, elakkan makanan tinggi rempah, kafein berlebihan dan bawang putih jika anda mudah berpeluh. Lebihkan buah, sayur dan air putih untuk membantu menstabilkan suhu badan dan mengurangkan bau peluh.
7. Jumpa Pakar Jika Perlu
Jika masalah bau badan atau kegelapan ketiak berlarutan walaupun selepas mencuba pelbagai cara yang telah EH! cadangkan jangan teragak-agak untuk berjumpa pakar dermatologi. Ia mungkin berkait dengan hormon, jangkitan atau kondisi kulit tertentu yang perlukan rawatan profesional.
Artikel Berkaitan: 7 Teknik Urutan Wajah Untuk ‘Snatched Jawline’ Tanpa Perlu Botox