Sama ada anda inginkan gaya yang klasik, moden, edgy atau elegan, gincu merah sentiasa ada tempat di meja solek. Yang penting, jangan takut untuk mencuba. Sapuan pertama mungkin terasa asing, tapi sapuan kedua mungkin buat anda jatuh cinta!
Dari Marilyn Monroe hingga Taylor Swift, ikon dunia ini telah membuktikan bahawa bibir merah mampu menjadikan penampilan biasa tampak luar biasa. Tetapi ia tidak akan nampak cantik jika anda rasa tidak selesa memakainya. Ia perlukan keyakinan, jadi pakai dengan rasa bangga, senyum dan percaya diri. Bila anda yakin, orang lain juga akan nampak anda cantik.
Saya faham, tidaklah semua orang yakin memakainya. Ada yang takut nampak ‘too much’, ada yang risau ia tidak sesuai dengan tona kulit, dan ada juga yang terus simpan gincu merah dalam laci tanpa pernah menyapunya. Jangan risau, kali ini, EH! kongsi tip untuk anda tampil yakin dan bergaya dengan gincu merah, tanpa rasa berlebihan.
Intai Tip Gayakan Gincu Merah;
1. Kenali Undertone
Kunci utama adalah kenali undertone anda terlebih dahulu. Jika anda mempunyai kulit yang agak cerah dengan cool undertone, warna yang sesuai adalah merah ceri. manakala, kulit sawo matang dengan undertone neutral atau warm pula lebih menyerlah dengan merah bata atau merah tomato. Kulit gelap tampil memukau dengan merah burgundy atau merah gelap. Jika ragu-ragu, cari warna merah ‘true red’ kerana ia boleh dikatakan sesuai dengan semua tona kulit.
2. Solekan Ringkas
Bila bibir dah cukup bold, wajah selebihnya tidak perlu solekan yang tebal. cukup hanya sapuan foundation ringan dengan kemasan natural, eyeliner nipis dan maskara sudah memadai. Untuk blusher, pilih warna lembut seperti peach atau ros supaya keseluruhan wajah nampak seimbang.
3. Bingkai Bibir Dengan Lip Liner
Ia bukan sahaja berikan bentuk yang lebih kemas, malah membantu mengelak gincu merebak keluar dari garisan bibir. Lip liner juga boleh membuat warna tahan lebih lama. Pilih warna senada atau sedikit gelap daripada gincu merah anda untuk efek yang lebih defined.
4. Aplikasi Ikut Gaya
Tidak semestinya perlu sapuan penuh. Untuk gaya lebih kasual atau effortless cuba teknik ombre lip dan sapukan gincu di tengah bibir dan dab ke tepi menggunakan jari. Untuk gaya lebih natural, dab bibir dengan tisu selepas sapuan pertama untuk kesan blotted. Sapuan penuh matte pula sesuai untuk acara malam yang lebih elegan.
5. Pemilihan Pakaian
Warna gincu merah akan lebih menonjol bila dipadankan dengan hitam, putih, denim atau beige. Jadi, elakkan pakaian berwarna terlalu terang atau corak yang keterlaluan jika tidak mahu tampak messy. Simple is chic!
Artikel Berkaitan: 8 Warna Gincu Untuk 8 Situasi Berbeza