Baru-baru ini kecoh di media barat yang melaporkan kuku palsu milik Lady Gaga yang hanya dipakainya selama beberapa saat ketika pelancaran minyak wanginya dan persembahan di konsert Born This Way ini telah terjual dengan harga ribuan ringgit! Mesti pembelinya tidak pandai menjaga kuku sampai terpaksa membeli kuku palsu semahal itu.
Gambar: theloftsalon.com
Sekiranya anda tidak mahu mengenakan kuku palsu seumur hidup, anda mesti tahu menjaga kuku supaya ia kekal cantik dan sihat. Di sini kami ada beberapa petua untuk anda.
1. Jangan terlalu kerap mandi air panas atau ke sauna kerana ini akan memburukkan keadaan kuku anda.
2. Tabiat menggigit kuku harus ditinggalkan kerana ia akan membuat kuku cepat pecah dan bakteria pada kuku itu dengan mudahnya berpindah ke mulut anda.
3. Potong kuku dengan kerap dan secara teratur kerana ia boleh membantu menjamin kesuburan kuku. Sekiranya kuku dibiarkan panjang, ia akan mudah patah dan cepat rapuh.
4. Kuku anda juga perlukan pelembap untuk terus bersinar. Sekiranya anda malas untuk membeli pelembap khas untuk kuku, pastikan setiap kali anda menyapu losen pada badan, sapukan sekali pada kuku terutamanya sebelum tidur.
5. Jangan lupa mengenakan sarung tangan ketika melakukan kerja rumah seperti membasuh pinggan mangkuk atau mencuci bilik air kerana sesetengah bahan pencuci boleh merosakkan kuku.
6. Pemakanan juga harus dijaga. Makan makanan yang kaya dengan Vitamin B seperti kacang, kuning telur, pisang, tempe dan hati. Makanan yang kaya dengan biotin juga bagus untuk mengelakkan kuku daripada terbelah.
7. Sekiranya anda suka mewarnakan kuku, pastikan anda memilih pewarna yang tinggi kualitinya kerana kandungan pewarna kuku yang berkualiti mempunyai formula yang bertindak untuk memelihara kuku.
8. Jangan selalu menggunakan aseton untuk membersihkan pewarna kuku kerana ia boleh menjadikan kuku anda kering.
9. Sekiranya kuku anda kotor dan kehitam-hitaman, gosokkan ia dengan cuka dan bersihkan dengan air suam.
10. Untuk mengilatkan kuku, gunakan bawang putih yang telah dipotong dua. Gosokkannya pada kuku sehingga mendapat hasil yang anda inginkan.