Oleh: Farhana Fuad
Solekan ibarat satu keperluan bagi setiap wanita untuk kelihatan lebih menawan dan cantik berseri kala menghadiri majlis rasmi ataupun ketika ke pejabat. Untuk mendapatkan solekan yang sempurna, ada caranya yang betul agar solekan tidak terlalu over atau keterlaluan supaya ianya bersesuaian kepada situasi dan majlis.
Adakalanya solekan yang kita lakukan sendiri tidak sama seakan solekan yang kita harapkan. Jadi, EH! kongsikan tip daripada jurusolek profesional untuk lebih inspirasi merias wajah anda.
Jurusolek: Khir Khalid
Tip solekan buat wanita?
Paling penting ialah dapatkan bedak asas yang sesuai dengan ton kulit. Saya suka melihat perempuan yang pandai memilih bedak asas yang tepat. Bila anda temui bedak asas yang tepat anda tidak perlukan kosmetik lain, cukup sekadar gincu dan maskara. Dan bagi solekan hari-hari biasa, saya rasa tidak perlulah buat teknik contouring.
Jurusolek: Fendi Sani
Dalam solekan apa yang paling penting?
Pemilihan warna yang tepat juga base yang sesuai dengan kulit. Menyediakan kulit sebelum bersolek juga penting seperti menyapu pelembap mahupun primer. Hari ini, pelbagai produk dicipta dan dikhususkan pula mengikut jenis kulit. Jika menyolek selebriti saya suka menggunakan air brush dan bedak asas pula yang mengandungi asas silikon kerana ia tahan lebih lama.
Jurusolek: Emmy Agung
Dalam solekan apa yang paling penting?
Koordinasi warna sentiasa memainkan peranan penting. Sekiranya mata sudah disolek sempurna tetapi dikenakan pemerah pipi yang tidak serasi ronanya, maka solekan akan tampak tidak sempurna.
Jurusolek: Bong
Bagaimana untuk menentukan solekan itu benar-benar cantik?
Apabila anda bersolek dalam pencahayaan yang sempurna, ia akan mudah untuk dinilai. Pencahayaan perlulah dari hadapan, bukan dari atas. Ia akan memberi hasil yang berbeza, lantas selesai solekan barulah anda perasan solekan tersebut terlalu tebal atau ronanya tidak serasi.
Jurusolek: Najeeb Azami
Bagaimana anda menyediakan kulit sebelum memulakan solekan?
Semburan wajah untuk menghidratkan kulit. Kemudian tepuk-tepuk muka untuk pengaliran darah yang sempurna. Oles pelembap dan diikuti dengan primer, sapuan pelembap adalah harus tidak kira jenis kulit sekalipun.
Jurusolek: Tiar Zainal
Dalam solekan apa yang paling penting?
Penjagaan kulit, apa-apa pun kulit yang bersih akan menjadikan solekan lebih menyerlah.