Gambar: INGimage
Sarah Brock, seorang jurusolek perkahwinan terkenal berkongsi tip dan trik untuk solekan cantik sempurna pada hari bahagia. Bukan hanya tertumpu pada busana perkahwinan, namun solekan wajah juga memainkan peranan penting dalam menaikkan seri wajah. Ikuti tip solekan buat hari perkahwinan anda agar solekan tidak tampak terlalu tebal atau sarat.
1. Pilih jurusolek yang terbaik
Jika ada di antara kenalan anda yang tampak cantik berseri ketika hari bahagianya, cuba bertanya tentang siapakah jurusoleknya pada hari perkahwinannya itu. Banyakkan membuat kajian di majalah dan laman web untuk mengenali jurusolek tempatan pilihan ramai. Jika anda sukakan solekan yang tampak natural, elakkan dari mengupah jurusolek yang terkenal dengan solekan mata berona gelap dan rona gincu yang menyerlah. Jika anda berjaya menjumpai jurusolek yang anda inginkan, pastikan anda menyimpan seberapa banyak imej atau gambar solekan pilihan anda buat rujukan jurusolek tersebut. Segera tempah kerana jika musim puncak mungkin sukar untuk dapatkan khidmat mereka.
2. Pilih gaya solekan
Jika gaun kahwin anda berkonsepkan romantik, berona lembut dan feminin, elak dari mengambil pilihan solekan mata berona gelap kerana sememangnya ia tidak sesuai untuk disuai padankan dengan gaun feminin anda. Biarpun anda menyukai solekan mata gelap, cuba kurangkan kegelapannya agar ianya bersesuaian dengan busana kahwin tersebut. Juga sama seperti rambut. Pastikan anda mencari seberapa banyak inspirasi gaya rambut untuk hari perkahwinan anda.
3. Primer adalah item yang sangat penting
Primer adalah item asas yang paling penting dan sangat diperlukan dalam solekan hari perkahwinan untuk menutup segala cela dan garis halus pada wajah. Pastikan juga anda memilih rona primer yang yang betul mengikut tona kulit.
4. Bedak asas sangat diutamakan
Ianya sangat penting dalam item solekan demi menaikkan lagi keserian solekan di hari istimewa pengantin. Segalanya juga akan menjadi seperti apa yang pengantin inginkan jika rona bedak asas sekata dengan tona kulit.
5. Oles penyamar noda sebelum menggunakan bedak asas.
Oles penyamar noda pada kesan bintik hitam atau jerawat di wajah selepas penggunaan bedak asas. Hanya gunakan sedikit amaun penyamar noda sudah cukup untuk melitupi cela pada wajah. Usah terlalu banyak kerana ia akan membuatkan solekan tampak comot dan tidak sekata.
6. Gunakan setipis mungkin bedak padat
Sememangnya anda memerlukan bedak padat untuk memberikan tekstur kulit yang lembut dan tidak kelihatan berminyak. Tetapi jangan pula terlalu melebih-lebih kerana pastinya anda tidak mahukan solekan kelihatan terlalu tebal.
7. Elak dari produk yang berkilat
Sebolehnya, kurangkan penggunaan produk solekan yang berkilau kerana ia akan memantulkan cahaya jika anda mengambil gambar. Anda boleh menggantikannya dengan produk yang mempunyai kilauan yang sedikit dan tidak terlalu banyak.
8. Naikkan seri pengantin
Layangkan krim pemerah pipi dengan cara mengolesnya pada tulang pipi dari dalam ke luar. Ianya buatkan wajah tampak lebih moden berbanding menggunakan pemerah pipi yang berunsurkan powder.
9. Solekan mata yang boleh tahan lama
Gunakan solekan mata yang kalis air kerana semestinya anda tidak mahu solekan anda cair ketika hari perkahwinan anda yang semestinya akan mengalirkan air mata kesyukuran.
10. Pilih rona gincu yang sesuai
Sebelum hari perkahwinan tiba, pastikan anda sudah membuat kaji selidik rona gincu yang sesuai untuk solekan serta busana anda nanti. Ini kerana rona gincu tidak akan sama seperti apa yang kita lihat di kaca tv atau di bibir seseorang dengan apabila ianya dioles ke atas bibir sendiri. Tidak semua orang akan mendapat hasil yang diinginkan.