Saya tertarik dengan sebaris ayat oleh Olivier Polge sewaktu sesi persembahan haruman terbaru Chance Eau Splendide di Tokyo. “Coco Chanel memilih nombor ‘5’ sebagai nombor bertuah dan kerana itulah haruman pertama dinamakan sebagai Chanel No 5. Minyak wangi sememangnya dipercayai membawa tuah, dan Chance adalah haruman itu,” katanya.
Dan kerana haruman Chance yang baru ini juga membawa tuah buat saya apabila diberikan satu lagi ruang untuk bersama-sama Chanel untuk menghadiri serta menyaksi acara globalnya. Kali ini tuah itu jelas sekali apabila saya dipertemukan dengan Angele, penyanyi kelahiran Belgium yang juga disunting sebagai wajah rasmi haruman kelima dalam keluarga Chance. Tambah menarik saya juga dipertemukan dengan Thomas du Pré de Saint Maur, individu yang bertanggungjawab di sebalik kempen-kempen ikonik, dan memang jarang peluang sebegini datang (baca temubual saya bersama Thomas dalam catatan akan datang).
Kunjungan ke Tokyo untuk Chance yang baharu ini padat dengan agenda. Beberapa jam sebaik mendarat saya sudah dipertemukan dengan Thomas untuk interviu di The Edition Tokyo Hotel. Pertemuan 30 minit itu mencipta persepsi berbeza tentang kempen Chanel yang selama ini sering saja saya lihat di media sosial.
Keesokannya pula saya dipertemukan pula dengan Angele, singkat saja, 10 minit namun amat bermakna kerana tidak hanya berbual, Angele juga dengan senang hati untuk saya merakam videonya.
PARTI PELANCARAN CHANCE EAU SPLENDIDE
“Jam 6.30 petang kita kena gerak ke Tokyo Tower, sebab waktu itu semua lampu bertukar ungu,” pesan Jini, orang kuat Chanel Beauty Malaysia. Tapi kami sedikit terlewat, tapi kami bertuah kerana dari kamar hotel jelas terlihat Tokyo Tower berwarna ungu. Suasana senja membuatkan panoramanya lebih indah.
Mengapa ungu? Kerana Chance Eau Splendide ini berona ungu, menjadi pelengkap kepada varian Chance yang sebelum ini memang dipelopori dengan warna pastel, ada merah samar, hijau dan jingga.
Bila melihat dan menghirup baunya, saya rasa memang padan sekali minyak wangi ini didatangkan dalam warna ungu. Suntikan bau raspberi pastinya menjadikan warna ini selari dengan isinya.
Sebelum jam menghampiri jam tujuh malam, saya dan Alisha (Pengarah Kecantikan Harper’s Bazaar Malaysia) bersama Eyka Farhana dan Christina Kuan dipandu ke Tokyo Tower yang juga menjadi lokasi pelancaran. Sebaik tiba, ruang koktel acara ini sudah dipenuhi ramai tetamu. Ada dua ruang dibina khas untuk rakaman tetamu khususnya selebriti dan pempengaruh yang diundang.
Saya lihat ada aktres Indonesia, Syifa Hadju, ada content creator dari Hong Kong, Steph Hui, ada juga selebriti Gabbi Garcia dari Filipina dan juga penyanyi Thailand, Ally Nitibhon dan dia turut mempersembahkan sebuah lagu malam itu.
Sebelum ke agenda seterusnya yakni persembahan nyanyian termasuklah persembahan Angele sendiri, para tetamu dijamu dengan video rasmi kempen Chance Eau Splendide. Video ini belum lagi dilancarkan (dijadualkan terlancar pada 15 April), jadi para tetamu malam itu dikira bertuah menjadi antara yang terawal dapat melihat videonya. Apa yang saya boleh simpulkan video tersebut sangat chic, fun and cute.
Kemudian kami dibawa ke ruang ‘konsert’ dan sebaik masuk ke ruang itu muzik bergema dengan putaran muzik DJ undangan. Dapat dilihat influencer dari serata Asia sudah pun berada di ruang ini, masing-masing mengambil tempat, lagi depan lagi bagus. Pentas dibuka dengan barisan penyanyi lokal Jepun, dan ada juga dari negara Asia yang lain.
ditutup dengan persembahan Angele yang menjadi highlight utama malam itu. Angele mempersembahkan lebih kurang lima lagu termasuklah lagu yang ditulis sendiri olehnya untuk kempen Chance Eau Splendide. Lihat, inilah yang saya katakan saya bertuah, sekali lagi disajikan dengan kejutan manis.
MENDEKATI CHANCE EAU SPLENDIDE
Selepas seronok berhibur dan berdansa malam itu, keesokan hari, seawal jam 8.45 pagi kami sudah dipandu ke lokasi presentation Chance. Sebaik tiba, dari pintu masuk sudah dapat dilihat botol gergasi Chance menyambut ketibaan tetamu. Di dinding tercatat ‘Take Your Chance’ yang menjadi tanda pagar dan tagline bagi varian baharu ini.
Seiring dengan tagline, sebahagian tiga activation di dalam dewan berkait rapat dengan peluang dan tuah. Permainan-permainan yang dibina berkait rapat dengan definisi haruman ini.
“Idea asal di sebalik Chance, ialah keadaan minda yang kami tafsirkan dalam gaya yang sangat berbeza. Setiap wangian Chance adalah unik, tetapi semuanya mengekspresikan pemikiran yang sama. Tiada komposisi biasa, tetapi sesuatu mengikut perasaan dan emosi yang diluahkan oleh setiap wangian—sesuatu yang sangat ‘hidup’ dan bersahaja,” kata Olivier Polge.
Aroma wangian flora bersulam dengan buah yang memukau jiwa. Chance menemukan raspberi yang menjadi nadi buah-buahan segar, kuntuman mawar dan ungu, dengan gandingan geranium yang cukup segar yang ditanam di ladang Chanel di Grasse. Ramuannya turut ditambah dengan kayu sedar (cedarwood) sebagai suntikan nota kayu yang dominan kuasanya.
“Eyka suka sangat bau yang ini. Dah lama cari minyak wangi yang macam ni, baunya kuat tapi masih terasa ringan. Warnanya pula ungu pastel, jadi Eyka memang suka. Eyka berani cakap Chance Eau Splendide akan jadi haruman favourite Eyka yang boleh dipakai selalu,” kata Eyka Farhana bila saya membuat kejutan dengan menghantar haruman ini untuk dicubanya sebelum pergi ke acara pelancaran.
Haruman ini bakal mula dilancarkan minggu ini, boleh berkunjung ke butik kecantikan Chanel untuk jadi orang terawal mencuba dan memiliki haruman ini. Atau boleh klik pautan laman sesawang Chanel untuk kemas kini terkini.
BACA: #EHksklusif 15 Foto Belakang Tabir Kempen Terbaru Chanel N°5