“Saya tak pernah terfikir pun yang satu hari nanti ada rumah fesyen berprestij seperti Chanel mahu menyunting saya. Saya berbesar hati dapat bekerja dengan mereka. Saya tak sabar untuk berekspresi bagaimana versatil dan malar segarnya Chanel,” – Whitney Peak.
Antara model kesukaan saya sejak dulu lagi ialah Kate Moss. Saya menggilainya di lewat tahun 1990-an, waktu itu saya masih di bangku sekolah tinggi. Melangkah ke universiti pada tahun 2000-an, saya makin terdedah kepada dunia media (saya menyambung pengajian di dalam jurusan Komunikasi Media), bahan bacaan juga meluas dan internet juga sedang berkembang pada waktu itu. Jadi banyaklah foto Kate Moss yang simpan secara digital (di dalam disket, ingat lagi?).
Kate Moss sangat terkenal, dan sejak era 90-an lagi dia memang menjadi antara model kesukaan Karl Lagerfeld. Selain menjadi wajah lazim di setiap pementasan Chanel, ikon ini jugalah yang selalu menghiasi kempen Chanel termasuklah haruman terbaru Chanel waktu itu, Coco Mademoiselle.
Saya masih ingat lagi imej Kate yang tidak berbaju, hanya bertopi dan lehernya dililit rantai mutiara putih di dalam kempen itu. Ikonik. Pada waktu itu kerap jugalah saya melihat kempen tersebut di mana-mana majalah, termasuklah di kaunter kecantikan Chanel sendiri. Kawan-kawan sekuliah juga ada yang berangan-angan memiliki haruman ciptaan Jacque Polge ini.
Selepas meninggalkan universiti saya masuk ke dunia penerbitan dan di sini saya lebih dekat dengan pelbagai jenama kecantikan termasuklah Chanel. Pada waktu ini Kiera Knightley menjadi bintang baru Coco Mademoiselle, dan pelbagai imej dirakamkan untuk kempen ini tahun demi tahun. Bagi saya Kiera sangat sinonim dengan haruman ini kerana ‘jodohnya’ panjang. Malah sewaktu saya ke Paris menghadiri pameran haruman Chanel tahun lalu, busana dan props yang pernah digayakan Kiera untuk kempen-kempen minyak wangi ini dipamerkan kembali. Bila melihatnya minda saya bagai dipetik suis, terbayang setiap jalan cerita kempen haruman ini, masing-masing punya tarikan tersendiri.
Bagi saya Coco Mademoiselle membawa imej sebuah haruman yang seksi, yang digemari wanita moden yang berani, berfikiran terbuka, punya karaktyer yang dominan namun masih mencerminkan sisi feminin. Jadi bila mereka mencari wajah baharu untuk mewakili haruman yang sudah berusia melangkaui dua dekad ini, mereka mahu satu figura yang sempurna dengan ciri-ciri tersebut.
Tahun ini aroma semerbak Coco Mademoiselle disemarakkan kembali dengan kemunculan wajah barunya, Whitney Peak. Wanita yang berasal dari Uganda dan berhijrah ke Kanada bersama keluarga pada usia sembilan tahun ini baru sahaja menginjak usia 20 tahun. Namanya menjadi buah mulut apabila membintangi siri Gossip Girl untuk dua musim. Tahun lalu dia juga membintangi Hocus Pocus 2, dan khabarnya tahun ini dia akan membintangi tiga filem baharu dan semuanya masih dirahsiakan.
Menurut Chanel, Whitney bukanlah gadis 20 tahun yang tipikal. Dia adalah contoh generasi masa kini yang didakap keberanian dan kebebasan, yang berani menjadi diri sendiri, membuat keputusan dan memilih hala tuju hidup sendiri.
Hubungan Whitney dan rumah fesyen Paris ini bukanlah baharu, sudah mula berputik sejak tahun 2021 lagi. Waktu itu Whitney disunting sebagai duta Chanel di Amerika. Tahun lalu pula dia ‘naik pangkat’ apabila muncul menghiasi kempen 22 Bag berdamping bersama Lily-Ross Depp dan Margaret Qualley.
Haruman ini diperkenalkan Chanel pada tahun 2001. Jacque Polge atau dikenali juga dengan gelaran ‘The Nose’ adalah individu penting di sebalik haruman ini. Jacque menjadi nadi utama dunia haruman di Chanel sejak 1978 sehingga tahun 2015. Haruman ini disimpulkan Chanel sebagai sebuah haruman untuk wanita yang berani dan dambakan kebebasan.