Seolah-olah berdiri di tepi lautan Mediterranean, matahari menyapa lembut pada kulit dan angin laut membawa bersama aroma citrus segar, inilah pengalaman olfaktori yang diilhamkan oleh LIBRE L’Eau Nue, wangian bebas alkohol pertama dari YSL Beauty, yang kini mencipta lembaran baharu dalam dunia haruman mewah.
Apabila jemputan eksklusif daripada YSL Beauty tiba di meja editorial EH!, kami tahu ini bukan pelancaran biasa. Ia adalah permulaan kepada satu naratif baharu dalam dunia haruman. Bertempat di Anantara Desaru Coast, destinasi percutian tropika yang memancarkan aura kemewahan ala Riviera, pelancaran ini disempurnakan dalam suasana eksklusif selama tiga hari bersama wakil media dan pempengaruh digital dari Malaysia dan Singapura. Ia bukan sekadar pengenalan produk, tetapi satu penceritaan emosi tentang kebebasan, kecantikan, dan sensualiti musim panas.
Sejak pertama kali diperkenalkan pada tahun 2019, rangkaian LIBRE telah menjadi lambang kebebasan dan keanggunan wanita moden yang berani, elegan dan autentik. Kini, dengan kehadiran LIBRE L’Eau Nue, YSL Beauty menyuntik nafas baharu ke dalam legasi tersebut, mencipta pengalaman yang lebih segar, intim dan sensorial.
Bukan Sekadar Wangian Biasa
Apa yang benar-benar menjadikan LIBRE L’Eau Nue luar biasa bukan sekadar aromanya yang memukau, tetapi bagaimana ia menyatu dengan kulit seakan menjadi lanjutan kepada diri sendiri. Diformulasi sebagai skin fragrance, ia melangkaui definisi wangian biasa. Dengan satu semburan, kulit bukan sahaja harum, malah segar, lembap dan nyaman sepanjang hari.
Terinspirasi daripada ritual kecantikan Morocco, teknologi Oil-in-Water dalam formulanya memberikan tekstur ringan bak embun pagi tidak melekit dan tidak berminyak, penuh dengan kelembapan yang menyegarkan. Uniknya lagi, ia boleh disembur bukan hanya pada tubuh, tetapi juga pada rambut untuk mencipta aura keharuman menyeluruh yang kekal lembut dan menggoda. Dalam iklim tropika yang panas dan lembap, LIBRE L’Eau Nue adalah definisi baru kepada kemewahan praktikal elegan, selesa, dan begitu sensual.
Disempurnakan selepas dua tahun penyelidikan intensif, formula inovatif ini adalah hasil gabungan kepakaran dua maestro wangian Anne Flipo dan Carlos Benaïm. Lebih daripada 60 versi diuji sebelum menemui keseimbangan sempurna antara keharuman dan penjagaan kulit.
Keunikan Ramuan LIBRE L’Eau Nue
Wangian ini dibuka dengan limpahan kesegaran dari Mandarin Hijau dan bergamot dari Calabria, kombinasi sitrus yang segar dan membangkitkan deria seolah-olah hembusan angin Mediterranean menyapa wajah. Di tengahnya, terserlah keanggunan Orange Blossom, bunga ikonik yang dipetik dari Taman Komuniti Ourika YSL di Morocco. Dikenali sebagai simbol sensualiti semula jadi, kehadiran bunga ini memberikan lapisan keharuman yang menggoda, mewakili kekuatan feminin yang bebas, lembut dan berani dalam satu masa.
Bercerita tentang ramuan LIBRE L’Eau Nue, EH! berpeluang menyertai sesi pengalaman wangian eksklusif bersama pakar dan Education Manager YSL Beauty. Botol seramik putih yang anggun, dihiasi logo YSL emas yang berkilauan, bukan sekadar simbol kemewahan, malah cerminan inovasi serta kehalusan formula di dalamnya. Dalam suasana santai penuh ilmu, kami diperkenalkan dengan bahan utama yang menjadikan LIBRE L’Eau Nue bukan sekadar wangian biasa, tetapi satu evolusi yang menghembus nafas segar ke dalam dunia haruman.
Dua Lipa & Kebebasan Musim Panas
Tidak lengkap bercerita tentang LIBRE tanpa menyebut duta globalnya, Dua Lipa, yang kembali tampil dalam kempen terbaharu ini. Menari di bawah mentari musim panas sambil diiringi lagu tema “Freedom”, ia memperkukuh lagi mesej tentang kebebasan diri dan ekspresi feminin yang berani.
bersama LIBRE L’Eau Nue, YSL Beauty juga menawarkan barisan produk lengkap yang anda boleh gandakan bersama seperti Libre Body Oil, Body Balm, Hair Mist dan Hand Cream.
Kunjungi LIBRE L’Eau Nue Summer Pop-Up yang kini sedang berlangsung di Mid Valley Megamall Centre Court, Kuala Lumpur sehingga 18 Mei 2025 dengan pra- daftar di SINI untuk mendapatkan hadiah eksklusif daripada YSL Beauty.
Artikel Berkaitan: Kemeriahan Bengkel Cantik Aidilfitri EH! Dan YSL Beauty