Tuduhan kek perkahwinan Amyra Rosli dan Amar Baharin telah berulat dan tidak boleh dimakan adalah tidak benar sama sekali.
Pembuat kek perkahwinan untuk pasangan raja sehari itu, Anne Idris menafikan akan tuduhan tersebut dan menjelaskan yang mana proses pembuatan kek tersebut bukannya mengambil masa sebulan tetapi hanya sehari sahaja.
Yang sebenarnya, jangka masa sebulan yang diperkatakan adalah dari segi persiapan untuk hiasan kek tersebut kerana ia perlukan perincian yang teliti serta dibuat khas dari kristal Swarovski.
“Saya terkilan ada komen-komen negetif mengatakan kek tersebut sudah berulat kerana dibuat sebulan lalu seperti viral di laman sosial. Blog-blog yang menviralkan tentang kek tersebut tidak bertanya kepada saya terlebih dahulu.
“Sebulan yang saya maksudkan ialah persiapan untuk hiasan kek kerana saya perlu buat hiasan rama-rama bertatahkan batu swarovski. Untuk sebiji kek ia mempunyai kira-kira 11,000 biji batu swarovski jenis paling mahal dan ia bukan senang untuk dilekatkan,” ujarnya kepada mStar Online.
Anne pada masa yang sama menjelaskan lagi yang mana kek perkahwinan buat pasangan popular itu dibuat daripada bahan-bahan yang boleh tahan lebih dua minggu jika disimpan dengan baik.
Ada juga yang menyatakan yang mana kek tersebut mencecah puluhan ribuan ringgit. Jelas Anne, disebabkan ingin memastikan yang ia boleh tahan lama, dia memilih untuk menggunakan bahan-bahan yang mahal untuk menghasilkannya.
Namun, harga sebenar kek tersebut tidak dinyatakan kerana bagi Anne ia terlalu peribadi untuk dikongsikan pada umum serta dia juga mempunyai perjanjian tertentu bersama pasangan ini.
“Saya dihubungi oleh ibu Amyra untuk urusan penyediaan kek ini dan saya tidak boleh dedahkan harga sebenarnya kerana ia terlalu peribadi dan kami ada perjanjian tertentu,” kata Anne.
Anne yang sememangnya sudah terkenal menerusi laman sosial dan punya pengikutnya kini sudah mencecah 100 ribu orang. Bagi Anne, kek perkahwinan Amar dan Amyra adalah kek ke-5 ciptaannya yang menjadi viral termasuklah dengan kek perkahwinan Anzalna sebelum ini.