Gambar: INGimage
Kehidupan di bandar dengan rutin kerja di pejabat sehingga lapan jam sehari mampu mempengaruhi cara hidup kita, sekali gus memberi kesan kepada kesihatan tanpa sedar. Apa yang lebih memudaratkan, kebanyakan kita gagal meluangkan masa untuk bersenam dan menjaga pemakanan yang sepatutnya atas alasan sibuk bekerja.
EH! kongsi tip sihat di pejabat khusus buat anda.
Kekal hidrasi
Kandungan air yang mencukupi dalam badan mampu membentuk fizikal dan mental yang sihat. Apa lagi ketika di pejabat yang mana anda memerlukan kekuatan mental secukupnya untuk melakukan setiap tugasan. Tip mudah kami, pastikan anda memiliki bekas air yang boleh mengisi 750ml air dan minum sehingga habis air tersebut setiap hari.
Makanan gantian
Kebanyakan daripada anda yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya lapan jam di pejabat, pasti memiliki makanan ringan seperti keropok berperisa, mi segera dan minuman 3 in 1. Tidak salah sesekali makan makanan sebegini, tapi harus ingat jika diambil secara berlebihan atau setiap hari, ia akan memudaratkan kesihatan kerana makanan tersebut memiliki bahan perisa tambahan yang tidak elok untuk kesihatan. Tip kami, gantikan keropok berperisa tadi dengan biskut hi-fiber dan minuman 3 in 1 seperti kopi segera dengan minuman berasaskan oat yang lebih berkhasiat.
Persekitaran
Ruang kerja yang bersih dan teratur mampu memberi impak positif kepada minda dan badan. Bersihkan ruang kerja anda serta susun atur setiap kerja yang dilakukan mengikut kepentingan. Dengan cara ini, secara tidak langsung anda akan lebih bersedia dan tidak kelam kabut untuk melakukan tugasan. Hal ini juga berkaitan dengan kebersihan tandas dan pantri di pejabat. Pastikan ia benar-benar bersih dan anggaplah pejabat seperti rumah anda sendiri.
Regangan
Terlalu lama duduk di hadapan komputer akan mengakibatkan mata anda letih serta menegangkan urat serta otot badan. Lakukan regangan ringkas untuk mendapat kembali kesegaran. Jika perlu, keluar sebentar dan alihkan sedikit pandangan terhadap kerja, ia akan membantu anda mengurangkan tekanan kerja. Ambil masa dengan berjalan di sekitar kawasan pejabat dan berbual sebentar sebelum kembali meneruskan tugasan.
Jaga postur
Cara duduk di kerusi, kedudukan meja serta komputer turut mempengaruhi kestabilan postur tubuh secara total. Pastikan kedudukan komputer selaras dengan pandangan mata anda. Elak membongkok kerana ia akan memberi kesan tidak baik kepada tulang belakang dan jika boleh peruntukan sejumlah wang untuk mendapatkan kerusi yang lebih selesa.
Pencahayaan
Satu kajian yang dilakukan oleh laman web aviva.ca mendapati kesihatan mata ada kaitan dengan sistem pencahayaan terutama buat anda yang banyak membaca atau menggunakan komputer. Pastikan anda mendapat cahaya secukupnya untuk mengelak kekaburan yang sekali gus memberi tekanan kepada sistem penglihatan. Elak membaca dalam pencahayaan yang berbayang atau dim light serta elak melihat skrin komputer terlalu dekat. Jika perlu untuk anda ubahkan pencahayaan di komputer, lakukan mengikut kadar yang diperlukan.