Oleh: Farhana Fuad
Gambar: ALDO
ALDO kali ini berkolaborasi bersama VFILES menganjurkan kempen perangi AIDS/HIV demi dunia sifar dengan penyakit berjangkit yang membunuh ini. Sempena kempen ini, ALDO dan VFILES bersama menghasilkan gelang tangan #FriendsFight demi mengumpul dana untuk organisasi Partners In Health dan program HIV/AIDS.
VFILES adalah komuniti fesyen digital berpengaruh yang cenderung ke arah budaya pop dan fesyen yang seangkatan dengannya. Yang menariknya, selaras dengan penghasilan gelang tangan #FriendsFight ini, klip video web juga turut dirakam yang memaparkan pasangan sahabat menceritakan tentang saat pergaduhan mereka.
Melalui penjualan gelang tangan #FriendsFight, 100% keuntungan yang dikumpul akan disalurkan terus ke organisasi ini. Dua objektif utama organisasi ini adalah untuk memastikan setiap pesakit atau pembawa penyakit HIV/AIDS yang kurang berkemampuan mendapat manfaat dari perubatan sains moden dan berkhidmat sebagai unit penyembuh kepada mereka yang berputus asa dalam memerangi penyakit ini.
“Kami telah komited untuk memerangi AIDS sejak 1985 apabila beberapa individu di antara kami ketika itu bersedia untuk memerangi penyakit ini. Ia adalah matlamat bagi kami yang sentiasa ada di hati sanubari sehingga ke hari ini dan bila-bila kami masih akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kesedaran dan dana untuk membantu, melindungi dan mendidik orang ramai di seluruh dunia. Kami sudah lama berdiri teguh memerangi penyakit ini dan ianya tidak akan pernah berakhir. Gelang tangan ini adalah simbol penting. Ianya melambangkan persahabatan dan perpaduan. Ianya satu jemputan untuk bersama memerangi penyakit AIDS.” kata Aldo Bensadoun, pengasas dan CEO kepada kumpulan ALDO.
Orang ramai juga dijemput bersama-sama memerangi penyakit ini dengan memuat naik gambar anda bersama sahabat baik dengan fighting pose di Instagram serta tag mereka . Juga jangan lupa untuk tag @ALDO_SHOES dan #FRIENDSFIGHT #ALDOFIGHTAIDS #VFILES.