Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Skechers
Penyanyi lagu hit All About That Bass, Meghan Trainor kali ini berkolaborasi bersama jenama kasut santai terkenal dunia iaitu Skechers. Ia adalah untuk melancarkan kempen terbaru Skechers Originals dengan koleksi sniker berkonsep retro.
Meghan mengenakan sepatu berona hitam serta bercorak bunga kala menari dan beraksi untuk video komersial kempen Skechers dengan membawakan single hit terbarunya yang berjudul ‘No’ dari album Thank You.
“Saya tidak sabar untuk kembara di seluruh dunia dan melihat sendiri wajah saya di kedai-kedai Skechers – ia masih lagi buatkan saya teruja! Ia merupakan satu penghormatan dan impian saya untuk bekerjasama dengan jenama gergasi dunia seperti Skechers,” ujar Meghan Trainor kala di set untuk video komersial kolaborasinya itu.
“Untuk album terbaru, saya inginkan kelainan dari segi lagu serta wajah baru yang segar – termasuklah transformasi rambut merah saya. Saya rasa ia perlukan keyakinan untuk mengambil risiko serta menjadi yang asli. Skechers turut menaikkan mesej ini di dalam kempen terbaru #MTrainSkechers dan saya tidak sabar untuk melihat reaksi peminat kala menontonnya!”
Sepatu Skechers koleksi retro yang digayakan sendiri oleh Meghan di dalam video kempen komersial ini direka dengan sedikit ketinggian untuk menampakkan si pemakai lebih tinggi. Ia sekaligus memfokuskan untuk meningkatkan tahap keyakinan serta personaliti diri si pemakai.
Tonton video komersial kempen terbaru dari Skechers berkolaborasi dengan Meghan Trainor di bawah.
https://www.youtube.com/watch?v=3vf8_ZDYrBA