Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Instagram Nora Danish
Kopi XOXO milik Nora Danish yang terletak di Bangsar akan ditutup tidak lama lagi. Menurut pelakon jelita ini, kadar sewa kedai tersebut agak tinggi dan dia terpaksa mengambil keputusan untuk menutup kafenya itu.
“Sebenarnya kami menumpang perniagaan butik Rumoda, jadi bila mereka tidak berada di sana lagi, sukar bagi kami untuk menampung perbelanjaan lokasi tersebut disebabkan nilai sewa yang agak tinggi.” ujar ibu kepada Putera Rayqal ini kepada Utusan Online.
Namun, dengan penutupan kafe Kopi XOXO di Bangsar ini tidak bermakna yang tiada lagi perniagaan kafe yang akan dijalankan oleh Nora. Terkini, Nora akan membuka sebuah kafe di Taman Tun Dr. Ismail dan Bangi.
“Dalam masa yang sama juga kami turut membuka sebuah kafe di TTDI dan Bangi, yang baharu saja beroperasi dalam waktu terdekat ini. Kedudukan kafe dan butik itu bersebelahan sahaja dan akan dibuka pada awal bulan Ramadan ini. Saya sudah dapat lihat yang sepanjang Ramadan ini saya akan berada di Bangi bagi menguruskan perniagaan saya”
“Kenapa saya pilih Bangi? Saya dapat lihat pasaran di sana amat menggalakkan,” ulasnya lagi kepada Utusan Online.