Oleh : Anis Hanini
Gambar : Arkib EH!
Pertama kali saya mendengar nama Abdul Latif Romly adalah selepas kemenangannya dalam meraih pingat emas di Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia 2015. Bukan itu sahaja, dia turut mencipta rekod baru dalam acara lompat jauh T20 dengan jarak 7.35 meter pada percubaan kedua.
Apa yang menarik perhatian saya tentang Latif adalah kerana usianya yang masih muda serta kekurangan diri yang tidak nampak secara fizikal. Selepas menghubungi Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN), saya berpeluang untuk merakam wajah remaja ini yang sudah pun mengharumkan nama negara di mata dunia.
Ketika temu bual, Abdul Latif Romly atau lebih senang dikenali sebagai Latif hadir bersama jurulatihnya, Syahrul Amri Mohd Suhaimi, yang juga bekas jaguh lompat jauh negara.
Dilahirkan pada 31 Mac 1997 di Kampung Bukit Keteri, Perlis, Latif tampak sempurna secara fizikal, namun dia mengalami ketidakmampuan intelektual (learning disability).
Sepanjang pembesaran, dia menghadapi kesukaran dalam pembelajaran dan pernah ditempatkan di kelas khas. Menurut Latif, pada usia 15 tahun, baru dia boleh membaca dan menulis walaupun tidak selancar dan pantas pelajar lain.
Namun begitu, Latif menjadi kegemaran guru-guru di sekolah kerana dia seorang yang aktif bersukan dan sentiasa menjadi harapan sekolah untuk membawa pulang pingat.
Kejayaannya yang memenangi emas lompat jauh di Sukma 2014 membuka mata MSN dan Majlis Paralimpik Malaysia. Di sini bermula karier Latif sebagai atlet Paralimpik kebangsaan.
PERMULAAN KARIER SUKAN
Ujar Latif, bakatnya dalam acara lompat jauh disedari oleh salah seorang guru sekolah menengahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi di Kangar, Perlis.
“Pada mulanya saya tidak begitu berminat untuk menyertai acara ini. Ia antara aktiviti sukan di sekolah yang wajib disertai namun di atas dorongan ibu dan ayah saya mula mencuba bakat yang ada dalam acara lompat jauh. Saya akui pada permulaan, saya agak keberatan untuk menyertai latihan namun lama-kelamaan timbul rasa minat yang tidak pernah ada sebelum ini.”
Minat Latif terhadap sukan juga mula berkembang selepas melihat abangnya sendiri berjinak dengan dunia olahraga di sekolah menengah. Bercerita mengenai idola dunia olahraganya pula, kata Latif dia cukup mengagumi Aleksandr Menkov, atlit lompat jauh Russia yang memegang rekod peribadi terbaik dengan jarak 8.16 meter pada tahun 2009.
Dia juga menyatakan bahawa kadang-kala ramai individu memandang rendah akan kebolehan atlit Paralimpik. Tambahnya lagi mungkin pendapat mereka kini berbeza setelah dia berjaya membuktikan bahawa kekurangan pada diri tidak menghalang impian dalam mengharumkan nama negara sekaligus membuktikan bahawa kekurangan ini masih lagi membentuk seseorang individu untuk berjaya di masa hadapan.
DUNIA SUKAN
Bercakap tentang persediaan dan latihan yang perlu dilakukan sebelum kejohanan dan acara, latif berkata, “Untuk persediaan, biasanya saya akan membetulkan teknik yang telah dipelajari selain menambah lagi kelajuan larian. Teknik yang perlu dibetulkan termasuk teknik landing dan teknik take off sebelum lompatan.”
Kekerapan latihan pula bergantung kepada kejohanan yang bakal dihadapi. Menurut Latif, dia hanya akan melakukan latihan satu sesi sahaja setiap hari jika perlu bertanding dalam tempoh terdekat.
“Namun jika tiada pertandingan di masa terdekat, saya akan berlatih setiap pagi dan petang mengikut kebolehan.”
Bagaimana pula anda kekal tenang sebelum pertandingan terutamanya dengan mata seluruh Malaysia memandang anda?
“Tidak dinafikan sebelum pertandingan, saya akan rasa gemuruh. Namun jurulatih saya, coach Syahrul Amri Mohd Suhaimi dan teman-teman rapat banyak memberi dorongan dan sokongan.”
Apakah cabaran yang paling besar yang pernah dihadapi?
“So far saya tidak pernah lagi menghadapi cabaran yang tidak diingini. Secara fizikal, saya mahu elakkan kecederaan agar masih dapat bersaing.”
Ditanya mengenai impian yang ingin dikecapi, Latif dengan tenang menjawab bahawa dia ingin meraih tempat pertama lompat jauh di Sukan Paralimpik Rio 2016 dan kelayakan ke Rio sememangnya saat-saat yang telah lama dinantikan.
Menurut Latif lagi ketika memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia di Doha, perasaannya yang gembira tidak terkata sukar digambarkan kerana dek usianya yang masih lagi muda terutamanya jika dilihat dia baru sahaja menyertai kejohanan ini selama setahun.
KEBANGGAAN MALAYSIA
Di Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia 2015 di Doha, Qatar, Latif telah mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas untuk acara lompat jauh T20 dengan jarak 7.35 meter pada percubaan kedua.
Malah, dengan pingat ini, dia turut mencipta sejarah yang mana dia telah memecah rekod kejohanan dalam kategori T20 yang pernah dipegang oleh Jose Antonio Expósito Pineiro dari Sepanyol pada tahun 2011 dengan catatan 7.19 meter.
Ditanya mengenai kemenangan ini, Latif ujar memecah rekod kejohanan ini sebenarnya antara sasaran utamanya.
“Kalau boleh, saya juga ingin memecah rekod dunia namun masih tidak kesampaian. Rekod dunia sekarang ialah dengan jarak 7.48 meter yang masih dipegang oleh Jose Antonio Expósito Pineiro. Saya ingin memegang rekod dunia jarak 7.55 meter jika kesampaian.”
Apabila ditanya mengenai perasaannya setelah dinobatkan sebagai salah seorang atlet Paralimpik muda yang harus diberi perhatian oleh laman rasmi International Paralympic Committee, Latif kelihatan sedikit terkejut namun menyatakan dengan nada yang tenang bahawa dia cuba elak untuk memikirkan tekanan dari orang ramai dan hanya fokus kepada latihan.
Walaupun baru sahaja menyertai sukan ini, Latif telah meraih pelbagai kejohanan termasuk Anugerah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2014 sebagai pemenang Anugerah Pendidikan Khas, pingat emas lompat jauh T20 jarak 7.01 meter di Sukan Asia Incheon serta pingat perak lompat jauh lelaki jarak 7.12 meter di SUKMA XVII Perlis 2014.
Namun begitu, pingat emas di Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia 2015 menjadi kemenangan paling manis kerana ia merupakan kemenangannya di acara sukan bertaraf dunia.
KATA JURULATIH
Di sesi temu bual ini, saya sempat bertanya kepada Syahrul Amri Mohd Suhaimi iaitu jurulatih kepada Latif mengenai pencapaian dan potensi.
“Selepas kejayaan Latif di Sukma, kami menaruh minat terhadap kebolehan Latif. Pencapaiannya dalam setahun ini amat memberangsangkan. Pada pandangan saya, kelebihannya jelas kepada ketinggiannya dan kekuatan diri.”
Impian utama Syahrul Amri terhadap Latif adalah untuk Latif memenangi acara lompat jauh seterusnya. “Walaupun Latif kini berada di ranking nombor satu dunia, kita tidak boleh terlalu leka. Saya akan pastikan Latif menerima latihan yang secukupnya agar dia berjaya di masa hadapan.”
Sememangnya negara memandang setiap gerak geri Latif dengan harapan untuk menaikkan lagi nama Malaysia serta sukan Paralimpik yang kurang mendapat perhatian ramai.
Impian mahu menyaksikannya meraih emas di pentas Paralimpik Rio 2016 kini menjadi kenyataan. Bukan sekadar menghadiahkan pingat emas buat negara, malah Latif Romly juga berjaya mencipta rekod baru dunia.