Oleh : Farhana Fuad
Marrion Cotillard dituduh menjadi punca pemfailan cerai Angelina Jolie dan Brad Pitt yang hangat diperkatakan sekarang ini. Tuduhan tersebut mula timbul dek kerana gandingan aktres Perancis ini bersama Brad Pitt di dalam filem akan datang yang berjudul Allied.
https://www.youtube.com/watch?v=hL3DoxgN0as
Tidak ambil ringan dengan perkara ini, Cotillard mula bersuara akan dakwaan yang tidak berasas tersebut dengan sekeping gambar yang dimuat naiknya di dalam akaun Instagram berserta kapsyen jelas mempertahankan dirinya dari gosip liar tersebut.
Menerusi kapsyen gambar tersebut, pada awalnya Cotillard sempat mengumumkan yang mana dia dan pasangan, Guillaume Canet yang juga seorang pelakon dan pengarah sedang menanti anak kedua.
“Ini adalah satu-satunya reaksi saya berkenaan dengan berita yang mula tersebar sejak 24 jam yang lepas dan saya mula dikaitkan dengannya. Saya seorang yang jarang untuk memberikan sebarang komen ke atas perkara sebegini, tidak juga mengambil serius akan berita ini tetapi situasi ini mula menjadi besar dan viral sekaligus memberi kesan kepada orang yang saya sayang, jadi saya perlu bersuara,” tulis Cotillard.
Cotillard turut menyatakan yang mana dirinya sayang dan cinta akan pasangannya yang juga bapa kepada anak lelakinya serta bayi yang dalam kandungannya sekarang ini. Aktres ini turut menekankan yang mana suaminya adalah cinta, sahabat baik dan hanya seorang sahaja individu yang dia perlukan dalam hidup.
Dalam masa yang sama, pemenang anugerah Oscar ini turut bersimpati akan situasi dan masalah yang dilalui oleh Brad Pitt dan Angelina Jolie berhubung pemfailan cerai yang baru sahaja berlaku 15 September lalu.
Bahkan, Cotillard turut berharap yang pasangan popular itu dapat mengharungi momen sukar ini dengan tenang. Menerusi filem Allied yang bakal ditayangkan pada 23 November nanti, Cotillard dan Pitt memegang watak sebagai pasangan bersekutu yang menyamar di Casablanca yang mana mula menjalinkan hubungan istimewa ketika mereka merancang untuk satu pembunuhan berprofil tinggi.