Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Sarapan pagi itu sudah semestinya penting untuk menjana tenaga tubuh sepanjang hari. Walhal ianya lagi penting dari makan tengah hari. Jom cuba beberapa menu sarapan pagi yang hanya mengambil masa 10 minit sahaja untuk penyediaannya dan cukup menyelerakan!
Roti gandum bersama salad dan telur mata
Untuk lebih enak, bakar roti gandum atau lebih dikenali sebagai wholemeal bread terlebih dahulu. Hiris nipis tomato serta sayur salad. Panaskan kuali berserta sedikit minyak dan goreng telur mengikut kuantiti yang anda inginkan. Satukan kesemua bahan menjadi sandwic. Tambah sedikit sos cili atau tomato untuk lebih kelazatan. Telur kaya dengan kandungan protein untuk memberikan lebih banyak tenaga pada tubuh.
Omelet telur bersama bayam serta keju
Panaskan kuali bersama sedikit minyak masak. Pecahkan telur serta pukul sebati di dalam mangkuk. Taburkan sedikit garam berserta serbuk lada hitam. Goreng telur ke dalam kuali yang sudah panas dan goreng sehingga menjadi omelet. Tambah sedikit hirisan sayur bayam dan keju untuk lebih keenakan. Hidangkan bersama roti tortilla untuk memadatkan hidangan sarapan pagi anda. Bayam merupakan sayuran yang kaya dengan kandungan zat besi yang dapat membekalkan tenaga pada tubuh.
Roti gandum bersama sapuan mentega kacang dan hirisan pisang
Mentega kacang secara amnya kita tahu yang ia tinggi dengan kandungan serat, protein dan sumber vitamin serta kalsium. Pisang pula kaya dengan sumber tenaga yang boleh bertahan lebih lama dari gula. Sapu rata mentega kacang ke atas dua keping roti gandum, letakkan hirisan pisang dan hidangkannya seperti sandwic.
Roti gandum bersama kacang panggang serta keju
Letakkan dua sudu kacang panggang ke atas roti gandum. Layangkan keju ke atas kacang panggang. Sediakan ketuhar gelombang mikro ke suhu yang paling maksimum. Panaskan hidangan tersebut selama 45 saat sehingga keju mencair dan kacang panggang cukup panas. Hidang ketika sarapan pagi bersama jus mangga atau susu untuk lebih pembekal tenaga.