Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Instagram Nad Zainal
Umum tahu yang kini Nad Zainal sudah pun hamil anak pertamanya dan usia kandungannya sudah pun mencecah lima bulan. Aktres bertubuh genit ini dijangka bakal melahirkan cahaya matanya hasil perkahwinannya bersama suami, Muhammad Faliq pada Oktober nanti.
Nad mengambil keputusan untuk tidak merahsiakan atau membuatkan ramai tertanya-tanya akan jantina kandungannya. Pelakon popular ini mendedahkan bahawa jantina anak sulungnya ini adalah bayi lelaki.
“Saya dan suami tidak kisah menerima cahaya mata lelaki atau pun perempuan. Ketika melakukan imbasan tiga minggu lalu dan dimaklumkan oleh doktor bahawa kami bakal menimang cahaya mata lelaki, kami terlalu gembira. Apabila sudah mengetahui jantina bayi, mudah untuk kami membeli kelengkapan sebagai persediaan. Ketika ini, banyak perancangan yang kami aturkan untuk. Saya dan suami hanya berharap agar semua urusan serta persediaan menanti kelahirannya nanti dipermudahkan oleh Allah,” kata Nad kepada Berita Harian Online.
Walaubagaimanapun, Nad menyatakan yang dirinya akan berehat daripada sebarang aktiviti serta tugasan seni buat sementara waktu demi menjaga kesihatannya.
EH! ucapkan tahniah buat Nad Zainal dan suami. Semoga segalanya berjalan lancar dan sentiasa diberikan kesihatan baik buat diri serta kandungan.