Nadiya Nisaa redha atas pemergian anak dalam kandungannya yang berusia lapan bulan pada bulan Julai lalu.
Pelakon filem Love, Supermoon itu tidak menafikan yang dirinya masih lagi bersedih dan terkejut kerana kehilangan anaknya itu. Baginya, ibu mana yang tidak bersedih selepas peristiwa pahit ini berlaku. Namun, dia redha atas ketentuan Allah.
Ketika dihubungi menerusi panggilan telefon, aktres yang kini sibuk dengan mempromosikan filem Interchange lakonannya sempat berkongsi sedikit sebanyak tentang dugaan perit yang dilaluinya itu.
“Saya tidak mahu bercerita terlalu terbuka akan perihal ini kerana ia semestinya satu insiden yang menyedihkan. Kini saya sedang berada pada proses secara perlahan-lahan untuk pulih sepenuhnya.
“Saya terima segalanya atas ketentuan Allah dan saya percaya yang ada hikmah atas segala apa yang telah berlaku. Ada juga yang bertanya apakah sebabnya?Saya sendiri tidak boleh nak jelaskan kenapa.” kata Nisaa.
Tambahnya lagi, insiden tersebut tidak hanya membuatkan dirinya seorang sahaja yang bersedih, malah juga seluruh ahli keluarga yang lain cukup terkesan atas dugaan ini.
Ditanya kepada Nisaa, apakah motivasi yang dia amalkan supaya dirinya bangun semula, “Apa yang saya buat dalam memotivasikan diri saya adalah saya ingatkan balik diri saya pada segala ketentuan dan kebesaran Allah. Believe back into our creator.“
Bertanya pula tentang Interchange, Nisaa menyatakan yang dia menerima watak tersebut sebagai satu pengalaman yang bermakna.
“Ia adalah satu projek yang sangat besar pada diri Dain Said dan juga saya. Jadi saya ambil peluang ini dan saya mahu jadi sebahagian daripada filem ini,” katanya lagi.
Dirinya mengakui yang sebelum ini pergi menghadiri uji bakat untuk filem ini tetapi untuk watak yang lain. Namun secara tiba-tiba berlaku perubahan watak dan dia dipilih untuk memegang watak Sani yang mana watak ini banyak melibatkan dia beraksi sama dengan pelakon popular dari Indonesia iaitu Nicholas Saputra.
“Saya cukup bersyukur selepas dipilih untuk melakonkan watak Sani walaupun ia berlangsung di saat akhir. Watak Sani banyak menggandingkan saya bersama Nicholas dan bagi saya, saya amat beruntung kerana dapat bekerjasama dengan Nicholas. He’s a superb actor. Walaupun proses lakonan itu terpaksa dibuat semula selepas pertukaran watak, Nicholas tetap memberikan kerjasama yang baik.”