Oleh : Farhana Fuad
Dengan sekali lafaz, kini Bella Dally sah bergelar isteri kepada Nazim Othman. Majlis ijab dan kabul yang berlangsung di Hotel Promanade, Kota Kinabalu dihadiri ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak serta sahabat rapat.
Kira-kira jam 9.50 pagi tadi, upacara akad nikah disempurnakan oleh Pegawai Agama Islam Negeri Sabar selaku jurunikah iaitu Imbran Angun.
Nazim menyerahkan mas kahwin kepada Bella sebanyak RM300. Bella turut menerima tujuh dulang hantaran dari pihak pengantin lelaki dan dibalas pula dengan sembilan dulang hantaran.
Pasangan merpati sejoli ini telah mengikat tali pertunangan pada November tahun lalu. Mereka telah berkenalan rapat selama 4 tahun sejak tahun 2013 lagi.
Nazim dan Bella sempat merakam gambar pra-perkahwinan sebelum ini Bali. Nazim mengenakan busana rekaan Rizman Ruzaini dan Bella pula tampil menawan dengan busana rekaan Nurita Harith.
Majlis resepsi di sebelah pihak pengantin perempuan telah pun berlangsung pada hari ini sejurus selepas majlis pernikahan. Manakala majlis di sebelah pihak Nazim pula akan berlangsung pada 17 September bertempat di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru.
EH! mengucapkan selamat pengantin baru buat Nazim Othman dan Bella Dally. Semoga selamat melayari bahtera perkahwinan sehingga ke akhir hayat.
EH! kongsikan gambar di sekitar majlis pernikahan dan resepsi pasangan selebriti ini.