Oleh : Farhana Fuad
Hajat Neelofa untuk menunaikan haji pada tahun ini kini menjadi kenyataan. Dia bersama ibu dan bapa tirinya sudah pun berlepas ke Tanah Suci Mekah. Neelofa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Arab Saudi petang semalam dan dijangka tiba hari ini.
Ini merupakan pengalaman menunaikan haji pertama kali buat Neelofa meskipun sudah terbang ke tanah suci untuk mengerjakan ibadah umrah sebanyak dua kali. Neelofa sebelum ini turut pernah berkongsi kepada BH online yang soal jodoh adalah antara doa yang bakal dirinya pohon di kota Mekah selain dari kesihatan, keluarga dan perniagaan.
Neelofa dalam masa yang sama bersyukur akan peluang yang dikurniakan ini kerana dirinya sendiri tidak menjangkakan yang niatnya yang ditanam pada awal tahun ini terkabul secepat ini.
“Alhamdulillah, saya mendapat pengesahan untuk menunaikan ibadah haji ini pada saat-saat terakhir walaupun terpaksa berhadapan dengan masalah visa sebelum ini,” ujar pengacara program MeleTOP ini kepada Utusan Online.
Kala Neelofa menuju ke KLIA semalam, selebriti jelita ini sempat merakam video pendek langit biru di Sepang berserta kapsyen akan mensyukuri cuaca indah kala keberangkatannya untuk menunaikan haji.
Semoga Neelofa dan keluarga peroleh haji yang mabrur di samping dipermudahkan segala urusan di sana.