Oleh : Farhana Fuad
Gambar : screenanarchy.com
Nicholas Saputra adalah satu nama yang tidak asing di Malaysia. Mula dikenali dengan filem romantis Indonesia yang berjudul Ada Apa Dengan Cinta pada tahun 2002, kini aktor kacak dari tanah seberang ini buat pertama kalinya bekerjasama dengan produksi filem tanah air, Apparat serta bergandingan dengan pelakon popular tempatan termasuklah Shaheizy Sam, Iedil Putra dan Nadiya Nisaa.
Menerusi filem gabungan dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia iaitu Interchange, Nicholas dipilih untuk membawa watak penting dalam filem misteri ini. Filem ini dihasilkan oleh dua syarikat iaitu Apparat (Malaysia) dan Cinesurya (Indonesia). Julung kalinya Nicholas berpeluang untuk berlakon dengan pengarah dari Malaysia iaitu Dain Said dan juga memegang watak yang tidak pernah dibawanya sebelum ini.
EH! diberi kesempatan untuk menemu bual eksklusif bersama Nicholas Saputra berhubung filem Interchange ini yang bakal ditayangkan pada 1 Disember nanti.
1. Apakah perasaan Nicholas apabila diberikan peluang untuk membawa watak Belian dalam filem Interchange?
Ia adalah satu karakter yang menarik. Sebab itu saya agak teruja apabila ditawarkan berlakon dalam filem ini dan karakter yang diberikan. Karakter ini juga agak mencabar, yang mana saya belum pernah lakukan sebelum ini. Ia adalah satu karakter mistik yang mana separuh manusia, separuh spirit, separuh haiwan.
2. Ada atau tidak kepayahan atau kesukaran yang Nicholas lalui dalam pembikinan filem ini?
Ya ada. Sebenarnya persediaan untuk filem ini agak mencabar kerana saya perlu mengadakan banyak diskusi bersama Dain Said (pengarah filem ini) untuk saya menguasai semua gerak-geri karakter ini, jiwa sanubari dan juga mekap untuk filem ini. The make up part is very challenging. Saya perlu memperuntukkan empat ke enam jam setiap hari untuk disolek.
3. Berapa lama masa yang diperuntukkan untuk menghasilkan filem ini?
Penggambaran yang melibatkan saya selama 20 hari, dan penggambaran keseluruhan untuk filem ini memakan masa 30 hari.
4. Bagaimana pengalaman pertama kali bekerjasama dengan pengarah Malaysia?
Dain adalah seorang pengarah yang baik. He loves working with actors. Saya sangat selesa bekerja dengannya. Saya pernah menonton filem Bunohan yang juga hasil karya Dain. Saya suka akan filem itu. Saya rasa filem tersebut sangat menarik dari segi lakonan, penggambaran dan lokasinya.
5. Ada atau tidak sebarang kesukaran untuk bahasa yang digunakan dalam filem ini?
Dalam filem tersebut saya perlu menguasai bahasa Melayu, dengan loghat Sarawak dan juga bahasa suku kaum Kenyah. Ia tidaklah terlalu sukar untuk mempelajari bahasa itu kerana saya mempunyai seorang guru yang mengajar saya untuk menguasai bahasa suku itu. Dia merupakan seorang suku asli kaum tersebut. Tetapi ia agak menyedihkan kerana dia meninggal dunia akibat kemalangan motorsikal.
6. Bagaimana respon akan filem ini yang sudah ditayangkan menerusi tayangan perdana di Festival Filem Locarno pada 5 Ogos dan Festival Filem Toronto September lepas?
Saya tidak dapat pergi menyaksikan tayangan perdana di Toronto. Tetapi di Locarno, malangnya ia tiada sebarang sesi soal jawab kerana ia berlangsung di sebuah kawasan lapang dengan dipenuhi 5,000 orang ramai yang duduk untuk menonton filem itu dengan skrin besar. I’m actually looking forward to do the Q&A session for the next opportunity.
7. Pendapat Nicholas akan filem Interchange?
Saya rasa ia adalah satu pengalaman menarik untuk penonton. Saya rasa filem ini adalah satu filem yang belum pernah dihasilkan sebelum ini tidak kira di sini (Malaysia) atau pun Indonesia. Saya rasa mereka akan menikmati sepenuhnya akan idea, imej, muzik, dan lakonan dalam filem ini. Mungkin ia satu filem yang anda tidak pernah lihat sebelum ini.
8. Bagaimana perasaan Nicholas yang julung kali bekerjasama dengan Shaheizy Sam, Iedil Putra dan Nadiya Nisaa?
Saya rasa mereka sangat profesional. Mereka juga sangat pandai berlakon. Mereka letakkan usaha yang paling tinggi dan terbaik untuk filem ini. Saya juga rasa saya banyak menghabiskan masa bersama Iedil ketika di luar.
9. Pada awalnya, bagaimana Nicholas boleh terlibat dalam pembikinan filem ini?
At the first, Nandita Solomon (penerbit) and Dain Said (pengarah) contacted me. Mereka datang ke Jakarta untuk berjumpa dengan saya dan berbincang pasal cerita ini. Dan selepas itu kami berkomunikasi menerusi Skype untuk lebih diskusi.
10. Adakah Nicholas mahu bekerjasama lagi dengan mana-mana produser, penerbit atau aktor dan aktres di Malaysia pada masa akan datang? Jika diberikan peluang, siapa yang Nicholas ingin bergandingan/bekerjasama?
Mengapa tidak. Saya rasa Bernard Chauly. Saya juga sukakan karya Yasmin Ahmad, tetapi dia sudah tiada.
11. Harapan Nicholas untuk filem Interchange?
I just hope that people will come to the theater and experience themselves on this film. That’s all I can expect. Mungkin filem ini mencerminkan kehidupan kita di benua Asia Tenggara ini. Ia mengandungi gabungan gaya hidup moden kita hari ini tapi dalam masa yang sama terikat banyak pada akar umbi budaya dan kepercayaan kita. Jadi saya percaya yang filem ini banyak mengorek akan perkara sebegini dan berkait dengan gaya hidup kewujudan kita pada hari ini.