Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Sumber Google
Berita gembira buat peminat filem cinta popular yang pernah menjadi satu fenomena di pawagam pada tahun 2011, Ombak Rindu. Filem cinta kegemaran ramai ini dikhabarkan akan ada sambungannya.
Menurut laporan BH Online, pengarah filem ini, Osman Ali sendiri mengakui yang dia sememangnya mahu mengarah untuk sekuel Ombak Rindu, lakonan Aaron Aziz, Maya Karin, Lisa Surihani dan Bront Palarae.
Filem Ombak Rindu yang ditayangkan di semua pawagam di Malaysia pada penghujung tahun 2011 telah berjaya mencatat kutipan sebanyak RM10 juta. Osman menyatakan keinginannya itu menerusi laman sosial Facebook sejurus menonton semula filem Ombak Rindu di kaca TV.
Keinginannya untuk menghasilkan sekuel sambungan Hariz dan juga Izza (Aaron Aziz dan Maya Karin) tergendala dek kerana masalah dalaman yang tidak dapat dielakkan.
“Jika masalah berbangkit itu tidak wujud, memang saya dan rakan kongsi sudah beria-ia mahu menghasilkan kesinambungannya. Cuma setakat ini, ia terpaksa ditangguhkan dulu. “Saya bagaimanapun tidak pernah putus berharap semoga ada jalan penyelesaiannya. Sejujurnya, saya teruja untuk menghasilkan sekuel Ombak Rindu,” katanya kepada BH Online.
Bahkan, dua judul buku sambungan Ombak Rindu karya tulisan Fauziah Ashari sudah pun dihantar kepadanya sejak awal tahun ini lagi. Osman sendiri cenderung positif untuk menghasilkan sambungan filem cinta ini.
“Insya-Allah, ada rezeki, pasti saya akan kembali mengarahkan sekuel Ombak Rindu. Gandingan semula mereka pastinya ditunggu-tunggu. Selepas filem terbabit, setahu saya mereka tidak pernah berlakon bersama lagi. Kalau gandingan Shah Rukh Khan dan Kajol, daripada Kuch Kuch Hota Hai hingga Dilwale, mencipta sensasi tersendiri, saya juga membayangkan senario sama jika Maya dan Aaron kembali untuk sekuel ini,” katanya.