Oleh : Farhana Fuad
Gambar : www.look.co.uk
Kediaman mendiang aktres dan model yang cukup terkenal dunia, Marilyn Monroe kini dibuka untuk jualan. Penthouse milik Marilyn yang terletak di Manhattan, Amerika Syarikat dijual dengan harga USD6.95juta.
Marilyn pernah mendiami penthouse ini selama lima tahun. Penthouse ini berkeluasan lebih 2,200kaki persegi dengan dua kamar tidur serta dua kamar mandi, ruang makan dan ruang tamu terbuka, dapur kontemporari yang berkilau serta solarium di salah satu kamar tidur.
Tingkap kaca solarium yang terdapat di salah satu kamar tidur di penthouse milik Marilyn ini menjanjikan permandangan indah langit yang terbentang luas di Kota New York.
Boleh dikatakan penthouse milik ikon popular ini agak berpatutan dari segi harga jualannya biarpun ia adalah salah satu harta pusaka yang pernah memahat sejarah di Hollywood.
New York Times sebelum ini melaporkan kediaman ini pernah didiami Marilyn dan Arthur Miller selepas mereka berkahwin pada tahun 1956 dan mereka mendiaminya sehingga tahun mereka bercerai iaitu pada tahun 1961.
Arthur pernah menulis sebuah filem drama bertajuk The Misfits di kediaman ini. Marilyn juga pernah membawa anjing peliharaannya baka Maltese, diberi nama Maf di taman hijau berdekatan.
Kediaman ini juga pernah dimiliki oleh pereka fesyen, Bill Blass, yang pernah menganjurkan parti untuk Cary Grant dan Duke and Duchess of Windsor. Hakikatnya, kediaman serta kawasan persekitarannya tersimpan pelbagai cerita dan sejarah yang terlalu banyak.
Penthouse ini juga menghadap East River dan 59th Street Bridge, panorama yang cukup cantik tidak kira di luar mahupun di dalam kediaman serta tingkap dan lantai yang menyalurkan cahaya semula jadi menyinari kediaman itu.
EH! kongsikan gambar kediaman penthouse milik mendiang Marilyn Monroe ini.