Ramai pasangan baru kahwin memilih untuk mengembara ke tempat yang penuh cabaran.
Sama ada lokasinya terletak di luar atau dalam negara, ideanya tetap satu iaitu untuk mencambahkan bunga cinta di dalam hati masing-masing dan pada masa yang sama menguji akan keutuhan sayang dan kasih.
Di sini EH! kongsi idea buat anda tentang ceritera serta panduan kepada pasangan yang ingin mengembara berdua.
1. DOKUMEN
Buat lelaki serahkan saja hal-hal berkaitan dokumen penting kepada pasangan anda. Sebagai wanita pula ini tugas anda untuk menyimpan dan membuat salinan kesemua dokumen penting semasa mengembara nanti. Jika destinasi yang dituju ialah ke luar negara, pastikan dokumen penting seperti pengenalan diri, pasport, visa dan lain-lain dibuat salinan agar jika berlaku kehilangan anda masih punya salinan sebagai bukti.
2. BAWA YANG ASAS
Kebanyakan wanita cenderung membawa barang yang banyak ketika mengembara. Tidak perlu rasanya membawa semua pakaian yang ada dalam gerobok anda. Memadai membawa barang-barang penting sahaja, ingat trip kembara berdua bukan seindah honeymoon! Jadi back to basic dengan membawa yang asas seperti t-shirt dan seluar kargo dalam rona gelap agar tidak mudah kelihatan akan kesan kotoran. Bagi lelaki pula, gajet pasti menjadi teman baik anda! Muat turun aplikasi Waze, telefon pintar dan iPad membantu melancarkan perjalanan anda dengan kemudahan jalur lebar.
3. SIFAR EMOSI
Kembara berdua mungkin tampak mudah terutama buat pasangan yang sudah lama bersama. Namun harus ingat, setiap tingkah anda perlu sentiasa dikawal agar tidak diulit emosi kerana bimbang akibatnya membawa kesan yang tidak baik kepada perhubungan. Sentiasa bertolak ansur dalam membuat timbang tara dan hadapi kesulitan dengan penuh sabar. Kehendak anda dan si dia mungkin berbeza namun apa yang boleh dilakukan bagi memuaskan hati masing-masing adalah dengan mengatur pelan yang mampu memenuhi kehendak masing-masing sepanjang pengembaraan.
4. CUBA SESUATU YANG BARU
Sesekali mengembara berdua apa kata lari dari kebiasaan dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang jarang atau tidak pernah anda lakukan berdua. Lihat peluang yang anda boleh lakukan bersama untuk menambah pengalaman baru dalam perhubungan anda. Jangan takut mencuba kerana bila lagi anda mahu makan makanan yang tidak boleh ditemui di tempat sendiri atau mencuba aktiviti ekstrem yang mampu menguji tahap keberanian anda dan pasangan? Jadikan trip ini sebagai satu wadah yang memberi lembaran baru dalam perhubungan anda dan si dia.
5. BAHAGI MASA
Tidak semestinya jika anda mengembara bersama pasangan menjadi kemestian untuk sentiasa bersama si dia. Tip kami, bahagikan masa anda untuk diri sendiri! Elak daripada sentiasa bersama sepanjang masa. Apa yang boleh anda lakukan adalah biar si lelaki ambil masa untuk praktik hobi seperti fotografi atau rutin di gimnasium sementara si wanita pula membuat aktiviti shopping! Hal ini akan memberi ruang kepada anda dan pasangan melakukan aktiviti sendiri buat jangka masa pendek.
6. KEJUTAN
Buat lelaki ini masa yang tepat untuk lakukan sedikit kejutan manis. Idea ini boleh dilakukan di malam terakhir anda bersama sebelum pulang ke kota. Jadi lebih kreatif dan bijak dalam menyusun strategi agar kejutan yang diberi akan membuat si dia merasai apa yang cuba anda lakukan sebagai bukti akan kesetiaan dan sayang anda pada pasangan. Tidak salah bukan melamar pasangan anda di puncak Gunung Kinabalu atau selepas seharian berkayak di kepulauan Boston Harbor?