Teks : Anis Hanini
Usia berbeza bukan lagi penghalang dua individu untuk bercinta dan meneruskan hubungan sah sebagai suami isteri. Namun stigma masyarakat masih lagi memandang hubungan ini sebagai taboo sedangkan ia kian menjadi norma.
Pada tahun 2005, negara digemparkan dengan berita di Terengganu seorang warga emas bernama Wook Kundur yang berusia 103 tahun telah melangsungkan perkahwinannya yang ke-22 dengan seorang lelaki, Mohd. Nor Musa yang berusia 34 tahun. Jarak usia mereka pula mencecah 69 tahun dan ini bukan lagi satu kelainan dalam dunia. Jika dilihat, sesebuah hubungan mahupun perkahwinan antara wanita dan lelaki berbeza usia kini bukan lagi satu isu yang menghairankan. Bahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes juga telah mengahwini teman wanitanya, Chloe yang berasal dari Korea tahun lepas. Jarak usia mereka pula 33 tahun.
Menurut Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie pabila dihubungi oleh sebuah surat akhbar tempatan, perkahwinan jarak usia ini mungkin disebabkan oleh fobia dengan kes-kes rumahtangga yang berantakan pabila perkahwinan melibatkan pasangan seusia. Dia berpendapat bahawa usia bukan penentu kehidupan yang sama sebaya, lebih tua mahupun lebih muda tidak memainkan peranan penting, sebaliknya pengetahuan dalam ilmu-ilmu rumahtangga yang mana pasangan berusaha untuk mengamalkan ilmu tersebut selain menjalankan tanggungjawab sepatutnya, akan lebih membantu memastikan perkahwinan menjadi bahagia.
Di Amerika Syarikat, menurut data daripada American Community Survey pada tahun 2013 oleh Pew Research Centre tentang trend hubungan usia berbeza antara pasangan hetereoseksual mendapati 78 hingga 80 peratus rakyat Amerika memilih pasangan usia sama dengan mereka untuk perkahwinan pertama. Manakala lelaki di Amerika pula lebih cenderung untuk mengahwini wanita muda yang mana 10 peratus memilih wanita enam hingga sembilan tahun lebih muda dan 5 peratus mengahwini wanita 10 tahun dan ke atas. Hanya dua peratus wanita Amerika sahaja mengahwini lelaki enam hingga sembilan tahun lebih muda manakala satu peratus sahaja lebih gemar lelaki 10 tahun ke atas.
THINK BEFORE YOU LEAP
Sama sahaja dalam mana-mana hubungan, ada beberapa faktor yang harus diambil berat sebelum memulakan hubungan usia jarak berbeza. Faktor ini membantu sama ada hubungan bakal berjaya namun tidak. Walaubagaimana pun, kunci kepada hubungan yang berjaya adalah komunikasi. Jika dua individu dapat berkongsi pemikiran dan pendapat yang sama, nescaya masalah dalam hubungan dapat diselesaikan secara aman. Antara perkara yang diambil kira oleh pasangan ini adalah persamaan, jadual hubungan, keluarga dan teman-teman, anak-anak, kewangan serta cita-cita.
Persamaan bermaksud jika pasangan mempunyai banyak kesamaan dalam kehidupan mereka, mungkin dari segi mereka membesar mahupun cara bekerja mereka, hubungan ini mungkin lebih berjaya. Setiap pasangan akan menghadapi isu persamaan ini dan bagaimana mereka berinteraksi dengan minat dan hobi masing-masing banyak membantu. Jadual hubungan lebih kepada mereka yang masih dalam kategori ‘bercinta’ bukan berkahwin. Ada sesetengah pasangan mungkin akan rasa tertekan dengan masa hadapan hubungan mereka kerana mereka mungkin satu-satunya pasangan yang masih belum bercadang untuk melangsungkan perkahwinan. Pasangan ini mempunyai pendapat sendiri dan hanya perbincangan mampu membantu mereka untuk capai persetujuan.
Menurut beberapa kajian, hubungan jarak usia berbeza kebanyakannya tidak mendapat sokongan lebih positif daripada ahli keluarga mahupun teman-teman. Dan ini kebanyakannya sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada pasangan. Dengan kata lain, mendapatkan sokongan daripada mereka yang tersayang banyak memberi unsur-unsur positif kepada hubungan ini. Anak-anak pula merujuk kepada dua kategori iaitu pasangan telahpun memiliki anak sendiri sebelum hubungan ini, atau pasangan inginkan anak selepas melangsungkan perkahwinan walaupun jarak usia mereka berbeza. Ia cabaran yang unik yang hanyak boleh diselesaikan dengan perbincangan kerana anak-anak yang lebih berusia mungkin mempunyai pemahaman berbeza dengan anak-anak yang masih kecil. Bagi pasangan yang bercadang untuk mendapatkan anak pula, harus mengambil berat bahawa menjadi ibu bapa pada usia berbeza membawa perbezaan dan kelebihan tersendiri.
Kewangan pula merujuk kepada sumber wang pasangan. Ada sesetengah pasangan yang lebih muda mungkin tidak punyai wang yang stabil seperti pasangan yang lebih berusia, malah pasangan berusia juga harus memikirkan duit saran di masa hadapan. Cita-cita setiap individu berbeza, terutamanya bagi pasangan usia berbeza namun ada di kalangan mereka mempunyai pemikiran yang sama lantas cita-cita mereka kadang kala ada persamaannya. Sebelum pasangan meneruskan hubungan dengan lebih lanjut, digalakkan untuk berbicara tentang cita-cita mereka sama ada dalam karier, keluarga mahupun kewangan bagi mengelakkan kesulitan di masa hadapan.
Cinta usia berbeza sebenarnya tiada kata putus yang dapat memberikan gambaran tetap. Hubungan antara dua invididu tertakluk kepada mereka berdua. Usia mungkin hanya angka namun yang lebih penting adalah rasa hormat, tanggungjawab dan persamaan antara mereka berdua. Kebanyakan kajian dan statistik tidak menyokong hubungan usia jarak jauh namun ia sebenarnya bergantung hati masing masing bahkan masih belum hadir kajian saintifik yang menghalang hati seseorang untuk menyukai seseorang yang lebih muda mahupun tua daripada mereka.